Ali Yahaya Seru Rakyat Kedah Tolak Pakatan Harapan


ALOR SETAR - Menyaksikan dengan mata kepala sendiri segala nikmat kemakmuran, kesejahteraan dan peningkatan tahap sosio-ekonomi negeri di tapak Ekspo Muafakat Kedah sejak merdeka, tidak dapat dinafikan ia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan.

Bukan mudah untuk membangunkan sebuah negeri pertanian secara holistik dalam pelbagai bidang, namun hasil perancangan strategik yang harmoni di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat telah memastikan semuanya dapat dicapai dengan baik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Merdeka, Dato' Ali Yahaya berkata, kunjungannya ke tapak ekspo terbesar yang julung-julung kali diadakan itu membuktikan peranan besar kerajaan Barisan Nasional (BN) membangunkan negeri Kedah.

"Sejak merdeka lagi Barisan Nasional menerajui Kerajaan Negeri Kedah. Bukan mudah untuk bangunkan sebuah negeri pertanian. Namun melalui perancangan yang baik, alhamdulillah, Allah hadiahkan semua nikmat ini untuk kita orang Kedah.

"Dalam liku dan cabaran membangunkan negeri kita, terdapat pelbagai kisah suka duka. Membina terusan Wan Mat Saman misalnya, ia terbina dengan keringat, tenaga dan pengorbanan yang besar untuk kebajikan rakyat Kedah ketika itu.

"Hari ini, untuk menyelesaikan masalah bekalan air contohnya, Kerajaan Negeri menggunakan kelebihan yang ada untuk berdiplomasi dengan Kerajaan Pusat mengatasi masalah bekalan air untuk kepentingan rakyat Kedah.

"Sudah tentu ia bukan suatu yang mudah kerana ia memerlukan belanja berbilion ringgit, namun hubungan baik dengan Kerajaan Pusat telah memastikan ia dapat dilaksanakan," katanya kepada Kedahnews.com dalam satu temubual di tapak Ekspo Muafakat Kedah, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ali berkata, kehadiran ratusan ribu rakyat Kedah di tapak ekspo berkenaan menjelaskan bahawa orang ramai yang hadir secara tidak langsung mengiktiraf peranan besar Kerajaan BN secara keseluruhan dalam usaha memajukan negeri ini.

Menurut beliau, sambutan hangat itu juga sekali gus menafikan propaganda pihak pembangkang yang cuba memperlekeh peranan BN membangunkan dan merancang masa depan negeri jelapang padi ini dengan hala tuju yang lebih baik.

"BN sudah terbukti berpengalaman luas membangunkan negeri ini. Rakyat Kedah pun tahu dan sedar mengenainya kerana ia adalah fakta yang sangat jelas. Pihak pembangkang saja yang cuba menipu orang muda zaman ini.

"Ia bukanlah hasil kerja seorang individu sahaja. Tapi ia merupakan hasil usaha muafakat setiap peringkat. Kepimpinan dan pegawai-pegawai Kerajaan Negeri, agensi-agensi kerajaan, Kerajaan Pusat, semuanya terlibat.

"Malah rakyat juga membantu kerajaan negeri merealisasikan semua yang kita nikmati hari ini. Itulah pentingnya muafakat. InsyaAllah ia akan hasilkan keberkatan buat negeri kita," ujarnya lagi.

Selain itu, Adun Pantai Merdeka itu turut membidas Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Dato' Seri Mukhriz Tun Mahathir yang baru-baru ini mendabik dada mengatakan sebahagian besar kandungan yang dipamer di ekspo berkenaan adalah hasil usahanya ketika menjadi Menteri Besar.

"Itu kenyataan orang tidak matang. Baru jadi Menteri Besar tidak sampai tiga tahun, sudah bongkak mengaku semua itu hasil usahanya? Apa sangatlah yang boleh dibuat dalam tempoh sesingkat itu?

"Adun-Adun di Kedah sebelum ini tidak nampak sebarang pembaharuan sepanjang Mukhriz jadi Menteri Besar. Maka sebab itu tidak hairan jika dia hilang sokongan dalam Dewan Undangan Negeri.

"Apa yang dipamerkan di ekspo itu adalah hasil kejayaan secara keseluruhan, bukan hasil kerja orang macam dia. Kalau bekas-bekas Menteri Besar dengar apa yang dia kata, sudah tentu ia akan jadi bahan jenaka," katanya membidas bekas Menteri Besar itu.

Apabila ditanya tentang kehadiran Mukhriz di tapak ekspo berkenaan dan kenyataan susulannya mengenai ekspo terbabit, Ali menjawab secara sinis dengan menyifatkan bekas Menteri Besar itu sebagai "gila talak".

Malah tegas beliau, kesungguhan Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebagai "nakhoda" Kerajaan Negeri adalah jauh lebih baik, tersusun dan berkesan membawa pembangunan serta kebajikan kepada rakyat Kedah.

Justeru itu, Ali yakin bahawa rakyat Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti akan sekali lagi bertindak bijak memberi mandat lebih besar kepada BN untuk meneruskan kecemerlangan mentadbir negeri ini.

Jelas beliau, perkembangan terkini sosio-politik tempatan menunjukkan rakyat kini telah menyedari permainan politik negatif Pakatan Harapan dan lebih cenderung untuk terus memilih BN menerajui Kerajaan Negeri dan Pusat. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com