Akaun Disita: TPM Puas Hati Penjelasan Pengarah JSJ


KUCHING – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berhubung isu akaunnya yang disita oleh Polis Australia.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Wan Ahmad Najmuddin sudah bertemu dengannya secara peribadi untuk menjelaskan perkara sebenar yang berlaku.

Dalam pada itu, Zahid berkata sikap naif Pengarah JSJ Bukit Aman itu menjadi punca timbulnya masalah berkenaan.

“Kes akaun Wan Ahmad Najmuddin disita polis Australia ini telah timbul sejak 2016.

“Sebagaimana diperjelaskan oleh Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohamad Fuzi Harun) dalam kenyataan semalam, beliau ada menjelaskan bahawa sumber kewangan dalam akaun Wan Ahmad Najmuddin bagi pembiayaan pengajian duanya di Australia adalah hasil penjualan dua rumahnya.

“Cuma undang-undang Australia mewajibkan seseorang individu itu mendapatkan kebenaran khusus jika ingin mengaktifkan akaun melebihi AUD$10,000.

“Jadi, mungkin Wan Ahmad Najmuddin naif tentang undang-undang Australia,” jelasnya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Negeri Sarawak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini semalam.

Sebelum ini, portal berita Australia, The Sydney Morning Herald mengatakan sumber duit akaun tersebut datang daripada hasil yang boleh dipertikaikan atau Wan Ahmad Najmuddin terlibat dengan kesalahan yang boleh didakwa.

Namun dakwaan tersebut telah dinafikan oleh Mohamad Fuzi dalam sebuah kenyataan semalam, di mana beliau menjelaskan bahawa tujuan utama Wan Ahmad Najmuddin membuka akaun bank di Australia pada 2011 adalah bagi menguruskan pemindahan dana kewangan untuk pengajian anak lelakinya di negara tersebut.

Jelas beliau, siasatan dalaman telah dijalankan bagi menyelidik perkara tersebut oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) pada tahun 2016.

Dalam tempoh sama pada 2016, katanya, akaun sama diaktifkan bagi merancang untuk pengajian sarjana anak perempuannya di Australia juga.

Tegas Mohamad Fuzi, Wan Ahmad Najmuddin turut berjaya menunjukkan dokumen yang membuktikan dana tersebut daripada penjualan rumahnya di Shah Alam, yang juga pada masa yang sama bernilai RM700,000 (AUD$260,770). - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com