'Air Ragut Nyawa Lebih Ramai Berbanding Api'


KOTA BHARU - Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat kini memperluaskan kempen kesedaran dalam kalangan pelajar negara ini, daripada aspek kebakaran kepada kes kematian akibat lemas di air.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata kematian akibat kejadian lemas di negara ini, mencapai purata 700 kes setiap tahun, berbanding hanya kira-kira 150 kes akibat kebakaran.

"Kes lemas diklasifikasi sebagai bencana kemanusiaan ekoran kecuaian yang menyebabkan kematian. Kejadian lemas sukar dibendung dan apa yang termampu dibuat pihaknya hanyalah menekankan aspek amaran.

"Fokus kesedaran diberikan kepada kanak-kanak kerana majoriti mangsa lemas adalah di bawah 18 tahun. Justeru itu, jika sebelum ini, kempen kesedaran di sekolah hanya membabitkan kes kebakaran, tapi kini kita giat menjalankan program kesedaran di air," katanya.

Beliau memberitahu demikian selepas menyempurnakan majlis penganugerahan pingat kbesaran jabatan itu kepada 35 penerima, termasuk tiga wakil daripada Sungai Golok, Thailand.

Selain itu, 46 kakitangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji, manakala 45 lagi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Beliau berkata, pihaknya juga meletakkan tanda amaran di kawasan peranginan seperti pantai dan air terjun yang dikenal pasti sebagai kawasan bahaya terutama yang sudah meragut lebih lima nyawa.

"Bagaimanapun, ia (kejadian lemas) masih lagi berlaku termasuk di Pantai Sri Telong, Bachok baru-baru ini, meskipun kawasan itu sudah dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Wan Mohd Nor memaklumkan kemaskini naik taraf maahaf tahfiz di negara ini yang sudah memasuki fasa kedua.

"Daripada keseluruhan lebih 1,000 maahad tahfiz di negara ini, sebanyak 200 premis sudah diperiksa yang mana tidak banyak membabitkan struktur.

"Selebihnya pula pihak Giat MARA yang bertanggungjawab dalam projek itu akan berhubung dengan kami untuk dibuat pemeriksaan sekiranya kerja naik taraf sudah selesai," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com