Aeril Berang, Foto Keluarga Diguna Tanpa Kebenaran


PELAKON, Aeril Zafrel meluahkan rasa kecewa serta berang terhadap perilaku peniaga online yang menggunakan foto keluarganya bagi tujuan komersial.

Memetik laporan mStar Online, Aeril memaklumkan bahawa pihak pengurusannya kini dalam perancangan untuk mengenakan tindakan undang-undang terhadap pihak terbabit.

“Pemilik laman web ini telah menggunakan gambar saya dan isteri tanpa kebenaran untuk tujuan promosi dan perniagaan mereka.

“Pihak pengurusan kami dalam usaha mengambil tindakan undang-undang ke atas pengendali page ini kerana keengganan bekerjasama meskipun beberapa kali amaran telah diberikan oleh pihak kami,” kata Aeril.

Sehubungan itu, Aeril menegaskan bahawa mereka sekeluarga sama sekali tiada kaitan dengan syarikat berkenaan selain turut menyatakan tidak akan bertanggungjawab jika berlaku sebarang masalah sepanjang urusniaga berjalan.

“Saya dan isteri juga tidak terlibat dalam urusan perniagaan syarikat tersebut. Justeru itu, kami tidak akan bertanggungjawab bagi segala perkara berbangkit.

“Tujuan hal ini diuar-uarkan bagi mengelak sebarang kemungkinan yang boleh mendatangkan kemudaratan, kerugian dan ketidak-baikan dalam perkara-perkara yang tidak diingini berlaku pada saya dan isteri juga kepada mana-mana pihak lain yang berurusan dengan entiti perniagaan tersebut,” tulisnya menerusi entri yang dimuat naik pada Selasa lepas.

Entri yang dimuat naik Aeril itu mendapat perhatian daripada netizen yang mana rata-rata bersetuju dengan tindakan pelakon itu yang bertujuan untuk menyedarkan mengenai penipuan tersebut.

Sehingga kini, entri tersebut dilihat menerima lebih daripada 10,000 tanda suka di laman Instagram. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com