Abdul Azeez Serah Notis Saman Fitnah Kepada Lim Guan Eng


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim semalam menyerahkan notis saman fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selepas tiada permohonan maaf dibuat.

Saman berkenaan difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Jumaat lalu dan pengurusan kes ditetapkan pada 9 April depan.

Menurut peguamnya, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos berkata, Guan Eng diberi tempoh 14 hari untuk  memberi maklum balas kepada notis tuntutan saman itu termasuk untuk membela diri.

Notis saman itu adalah berhubung kenyataan-kenyataan fitnah Guan Eng terhadap Abdul Azeez yang dibuat di dua lokasi iaitu dalam sidang akhbar pada 28 Februari lalu serta ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Penang Development Corporation pada 1 Mac lalu.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan notis undang-undang itu di bangunan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), pada Isnin.

Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sebelum ini telah menjadi mangsa fitnah selepas namanya dikaitkan sebagai individu yang menerima rasuah berjumlah RM3 juta.

Memetik Awani, wang itu merupakan sebahagian daripada RM22 juta yang turut dibayar kepada seorang lagi ahli perniagaan bagi menutup siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes terowong dasar laut yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Bagaimanapun, pemaju projek itu, Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (Zenith) kemudiannya menarik balik tuntutan dan memohon maaf kepada Abdul Azeez serta mendakwa nama beliau digunakan pihak tidak bertanggungjawab dalam isu tersebut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com