9 Peluru Meriam Dijumpai Di Fort Cornwallis


GEORGETOWN - Selepas penemuan dua meriam berkembar, sekumpulan ahli arkeologi dan sejarah daripada Universiti Sains Malaysia (USM) semalam, menjumpai sembilan butir peluru meriam di tapak arkeologi Fort Cornwallis, di sini.

Ahli arkeologi, Noridayu Bakry, berkata sembilan butir peluru meriam itu bagaimanapun dipercayai bukan milik dua meriam berkembar yang ditemui pada 19 Februari lalu, berdasarkan saiznya yang berbeza.

"Semua sembilan butir peluru meriam ini ditemui secara berperingkat iaitu antara 26 hingga 28 Februari lalu dan saiznya juga lebih kecil iaitu antara 6 sentimenter (cm) hingga 3 cm sahaja.

"Sembilan butir peluru meriam ini juga dipercayai berusia sekurang-kurangnya 200 tahun dan ia akan dibawa ke USM bagi tujuan mengesan lebih banyak data dan maklumat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Februari lalu, kumpulan arkeologi sama menemui dua meriam berkembar dipercayai berusia sekurang-kurangnya 200 tahun di tapak ekskavasi sama, di Fort Cornwallis di sini.


Kedua-dua meriam yang dipercayai digunakan pada era pemerintahan King George III itu juga bakal mengubah sejarah asal Fort Cornwallis yang selama ini dikenali sebagai Kota Keamanan.

Mengulas lanjut, Noridayu berkata, berdasarkan penemuan terbaharu itu pihaknya percaya akan menemui lebih banyak bahan sejarah di tapak arkeologi seluas lebih 0.4 hektar berkenaan.

Katanya, kerja mencari dan menggali yang dilakukan sejak Ogos tahun lalu itu adalah berpandukan peta asal Fort Cornwallis pada tahun 1877.

"Kami akan berusaha untuk mencari lebih banyak bukti bagi merungkai misteri dan peranan sebenar kubu yang selama ini lebih dikenali sebagai Kota Keamanan," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com