500 Kerusi Roda Untuk Hospital Seluruh Negara


PUTRAJAYA – Persatuan Kesejahteraan Rakyat 1Malaysia (KER1M) menyasarkan sebanyak 500 kerusi roda di bawah Program Pinjaman Dan Bantuan Kerusi Roda 1 Malaysia (BKR1M) akan diserahkan kepada hospital di seluruh negara menjelang hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Perhubungan Awam KER1M Nur Shaqiroh Hussin berkata sehingga kini, sebanyak 150 daripadanya telah berjaya diagihkan sejak Januari lepas.

“Setakat ini hospital yang telah menerima BKR1M ialah hospital di Negeri Sembilan, Melaka, Perlis dan Kelantan.

“Selepas ini kita akan serahkan kepada hospital di Kedah, Johor dan Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan 18 buah kerusi roda kepada wakil Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan, di sini kelmarin.

Menurutnya di bawah program itu, pihak hospital boleh meminjamkan kerusi roda tersebut dalam jangka masa pendek kepada pesakit atau pemohon yang kurang berkemampuan.

Nur Shaqiroh berkata orang ramai yang memerlukan bantuan kerusi roda juga boleh menghubungi KER1M di talian 03-21644999 atau melayari lawan web persatuan itu di www.1malaysia.gov.my.

Katanya setiap permohonan perlu disertakan dengan pengesahan daripada doktor bagi mendapatkan kelulusan.  – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com