500 Bangkai Ayam Dalam Sungai Di Sik


SIK - Pembuangan kira-kira 500 bangkai ayam dalam Sungai Muda dikhuatiri mencemarkan sumber minuman penduduk Kampung Nami Lama.

Penduduk, Harun Abdullah, 45, berkata, bangkai ayam itu dibungkus dalam 20 guni dan kemudian dibuang di dalam sungai.

“Pada hari Khamis sekitar 1 hingga 2 pagi, ada orang kampung nampak kelibat individu campak guni dari atas jambatan.

“Tapi malam tu orang kampung tak syak apa-apa. Selepas beberapa hari baru kami tahu ada bangkai dibuang selepas kawasan sekitar sungai bau busuk.” katanya.

Harun berkata, sungai yang menjadi sumber air berkenaan bukan sahaja menampung kegunaan Kampung Nami, sebaliknya turut disalurkan ke kawasan Gulau dan Kota Aur.

“Air sungai ni diproses di loji Syarikat Air Darul Aman (Sada) Nami dan bekalkan air ke kawasan sekitar kampung ni termasuk Gulau dan Kota Air yang jaraknya lapan hingga 15 kilometer,” katanya.

Menurutnya, aduan diadukan kepada Sada, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) namun masih tiada tindakan.

Penduduk, Yahya Zaman Hamzah, 67, berkata, masalah tersebut kali pertama berlaku di kampung mereka.

“Selama 30 tahun loji kampung ni beroperasi tak pernah timbul kes macam ni,” katanya.


Manakala, Pengusaha Ayam Syarikat Namy Agro Farm, Mohd Redzuan Md Salleh, 37, berkata, tindakan tidak beretika itu mencemarkan nama baik syarikatnya dan sebuah lagi syarikat yang beroperasi di kampung itu.

“Bila jadi macam ni, kami bimbang penduduk akan memberi persepsi buruk kepada syarikat kami. Kami dah operasi lebih 10 tahun dan tak pernah buat macam ni,” katanya.

Penduduk, Nasir Harun, 44, berkata, pencemaran itu dikhuatiri membawa ancaman kepada kesihatan penduduk

“Benda ni bahaya, macam-macam boleh jadi. Ikan pun boleh mati. Jika tiada tindakan daripada pihak berwajib, kami bimbang masalah macam ni boleh berulang.

“Orang tu akan lepas tangan saja, jika hari ni dia boleh buang, esok pun dia boleh buang di tempat sama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Nami Tua, Mat Ali Ismail berkata, penduduk mengambil inisiatif menanam bangkai ayam itu bagi mengelakkan pencemaran lebih teruk.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com