5 PATI Warga Myanmar Diberkas Di Bukit Kayu Hitam


ALOR SETAR - Pasukan Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4 RRD) berjaya memberkas lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar berhampiran Pos Lima di sini, kelmarin.

Menurut Panglima Enam Briged, Brigedier Jeneral Abdul Aziz Ismail, berkata kesemua PATI berusia antara 21 hingga 33 tahun itu ditahan di simpang jalan Kampung Bukit Kayu Hitam, jam 4 petang.

Sebelum itu, katanya, kumpulan rondaan bermotosikal 4 RRD diketuai Sarjan Izuwan Mohd Yusof membuat rondaan di kawasan berkenaan dan menjumpai lima lelaki terbabit dalam keadaan mencurigakan.

"Mereka dipercayai sedang menunggu untuk dijemput kenalan di simpang jalan itu selepas berjaya meloloskan diri menerusi pagar sempadan.

"Hasil pemeriksaan, mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Jelas Abdul Aziz, turut dirampas empat beg galas mengandungi pakaian, dua telefon bimbit, wang tunai RM70 dan 520 baht (kira-kira RM64)

Memetik BH Online, PATI terbabit kemudian dibawa ke Pusat Pergigian Angkatan Tentera (PPAT) Lima Rejimen Sempadan bagi pemeriksaan kesihatan sebelum ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com