447 Pelajar Sekolah Rendah Negara Ini Positif Dadah - AADK


KUALA LUMPUR - Pengaruh dadah di kalangan penuntut sekolah semakin membimbangkan apabila ianya mula menular di kalangan pelajar sekolah rendah.

Menurut Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), seramai 447 pelajar sekolah rendah seluruh negara dikesan positif dadah dalam ujian saringan air kencing yang dilakukan dalam operasi khas baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Izhar Abu Talib berkata, angka itu merupakan jumlah yang dicatat sejak Januari hingga Februari tahun ini.

Jelasnya, kesemua pelajar terlibat akan diberi peluang kedua dengan mengikuti sesi kaunseling dan program intervensi bagi mengatasi masalah sosial ini.

Dalam Operasi Perdana (Op Perdana) yang dilancarkan sejak dua hari lepas di sekitar Chow Kit dan Dang Wangi, di sini, seramai 97 individu ditangkap kerana positif dadah.

Ada di antaranya adalah penuntut universiti swasta dan remaja bawah 21 tahun .

Operasi yang tertumpu di hotel bajet, kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan pusat hiburan turut mengesan sepasang penagih tegar yang sanggup membawa anak kecil tinggal bersama ketika menghisap dadah.

Mereka didapati menyewa sebuah hotel bajet di ibu negara.

“Penghuni-penghuni bajet murah itu di sekitar Chow Kit memang kebanyakannya didapati  mengambil dadah, sebab mereka tahu mereka tidak ada port (tempat) lain di sekitar Kuala Lumpur ini.

“Mereka menjadikan hotel bajet ini sebagai port untuk mereka tinggal, dan dalam waktu yang sama mendapatkan bekalan dan mengambil dadah,” kata Izhar kepada pemberita.

Semakan mendapati, lapan daripada mereka berusia 13 hingga 19 tahun, manakala 68 penagih berusia 20 hingga 40 tahun dan selebihnya berusia 41 tahun ke atas.

Turut dirampas ialah pelbagai dadah jenis eramin methaphetamin, amphethamin, heroin, ganja dan pil kuda.

Tambahnya, Op Perdana ini akan diteruskan bagi menangani masalah sosial yang dikatakan semakin menjad-jadi dan tidak pernah habis.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com