4 Beranak Di Padang Terap Impi Inap Rumah Selesa


ALOR SETAR - Empat beranak terpaksa tinggal berhimpit dalam rumah kecil mereka di Kampung Belimbing, Kuala Nerang, di sini sejak empat tahun lalu disebabkan oleh kemiskinan hidup yang dihadapi.

Hasrat untuk membina rumah lebih selesa tidak kesampaian dan mereka terpaksa tinggal di rumah bersaiz 200 kaki persegi tersebut dengan bertemankan nyamuk dan ada ketikanya disertai hujan kerana atap bocor.

Apa yang lebih menyedihkan ialah rumah beratap dan berdindingkan zink itu tidak sempurna, malah ada yang sudah berlubang sertas sudah uzur.

Bagi Mohamad Sabree Ahmad, 30, mengakui pendapatan sebagai pemandu lori dengan gaji harian yang rendah, menyukarkannya untuk memberi keselesaan kepada isteri dan dua anaknya.

“Walaupun gaji dibayar bulanan tetapi jika sakit, demam, tak kerja, maka tidak bergajilah hari itu.

“Jadi usaha untuk membina rumah itu tertangguh kerana kekurangan modal,” katanya memetik MyMetro.


Jelasnya, isteri, Siti Salmiah Khamis, 25, juga terpaksa bekerja sebagai pembantu stesen minyak demi membantu meringankan bebanan keluarga.

“Pendapatan isi rumah kami selepas dicampur gaji kami berdua hanya sekitar RM1,500. Anak sulung (Mohd Syazwan Aizat, 6) pula mula memasuki tadika, selain adiknya (Shazreen Noraiya, 4) juga dihantar ke tadika sama kerana isteri perlu bekerja,” ujarnya.

Tambahnya, keluarga mereka tidak menerima sebarang bantuan luar dan mengharapkan ada pihak yang sudi membantu merealisasikan impian mereka untuk mempunyai rumah lebih selesa.

“Saya pernah memohon bantuan daripada pihak tertentu tetapi ditolak kerana usia muda selain hanya mempunyai dua anak.

“Saya cuma mahu membina rumah untuk keselesaan keluarga, memandangkan kedua-dua anak saya makin membesar,” katanya yang mempunyai tapak untuk membina rumah di sebelah rumah kecilnya.

Menurutnya, tapak tanah itu milik keluarganya dan mengundang pertanyaan orang ramai berikutan dia tidak tinggal bersama keluarga.

“Ramai bertanya kenapa saya tidak tinggal di rumah emak, sedangkan kami hanya bersebelahan. Saya cuma tidak mahu menyusahkan emak kerana rumahnya juga tidak besar dan perlu dikongsi bersama empat adik-beradik yang lain,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com