300 Juta Penghidap Hepatitis B Di Dunia


PARIS - Sekitar 300 juta orang di seluruh dunia hidup dengan virus maut hepatitis B (HBV), tetapi hanya satu daripada 20 pembawa menerima rawatan yang mencukupi, kata penyelidik.

Bagi ibu hamil yang membawa virus yang boleh dijangkiti anaknya, peratusan itu turun kepada satu dalam 100 orang, lapor penyelidik dalam jurnal perubatan The Lancet Gastroenterology & Hepatologi.

Sekiranya tidak dirawat, HBV boleh menyebabkan penyakit hati yang serius, termasuk kanser.

Dianggarkan 600,000 orang mati setiap tahun akibat penyakit hati berkaitan hepatitis-B, menjadikan HBV lebih berbahaya daripada malaria.

Ujian untuk HBV wujud sejak 1970-an lagi, tetapi hanya satu daripada 10 pesakit di seluruh dunia didiagnos.

Virus ini sangat mudah dijangkiti melalui darah atau cecair badan yang lain, dan kebanyakannya dari ibu kepada bayi mereka atau antara anak-anak.

Setakat ini tiada penawar untuk HBV, tetapi ubat antivirus terbukti berkesan dalam mengatasi gejalanya.

Pengkaji utama Homie Razavi, seorang ahli virologi di Pusat Analisis Penyakit di Denver, Colorado berkata beliau dan pasukannya menganalisis data daripada 435 kajian dan meneliti kerja lebih daripada 600 pakar kebangsaan.

Mereka membuat kesimpulan bahawa 292 juta individu hidup dengan HBV pada 2016, atau hampir empat peratus daripada populasi global.

Virus ini paling biasa ditemui di Asia Timur dan Afrika sub-Sahara, di mana kelazimannya adalah setinggi 12 peratus di Republik Afrika Tengah.

China, India, Nigeria, Indonesia dan Filipina menyumbang hampir 60 peratus daripada keseluruhan jangkitan. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com