2 Beradik Dari Alor Setar Tidak Bersekolah Kerana Tiada Sijil Warganegara


ALOR SETAR - "Saya pun teringin nak pakai baju sekolah dan pergi ke sekolah bersama kawan," kata Muhammad Yusrizal Abdullah, 8, yang masih tidak dapat bersekolah akibat masalah kewarganegaraan dihadapinya.

Meskipun bapanya, Nor Mohd Yusri Yusof, 30, warga negara Malaysia, namun disebabkan berkahwin dengan wanita Indonesia di Songkhla, Thailand, dua daripada tiga anaknya menghadapi masalah untuk mendapat kerakyatan di sini.

Muhammad Yusrizal dan adiknya, Muhammad Nor Yusdanial Abdullah berusia tiga tahun berstatus warga Indonesia, namun seorang lagi adiknya, Muhammad Yusnizam Akmal Nor Mohd Yusri, 5, berjaya didaftarkan sebagai warga negara Malaysia.

Menurut Muhammad Yusrizal yang bercita-cita menjadi anggota polis berkata, dia ingin belajar bagi mencapai cita-citanya itu.

"Saya harap dapat bersekolah dan menjadi anggota polis satu hari nanti," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Talipon, Kubang Rotan, di sini.

Sementara itu, Nor Mohd Yusri berkata, masalah timbul selepas dia dan isteri, Dewi berkahwin di Songkhla pada 2009 dan tidak mendaftarkan perkahwinannya di negeri tersebut.

"Sebelum ini, isteri saya bekerja sebagai tukang cuci di Pulau Pinang dan kami mengambil keputusan untuk berkahwin.

"Saya terpaksa berkahwin di negara jiran kerana ketika itu pasport isteri dipegang majikannya dan menyukarkan urusan untuk berkahwin di sini," katanya memetik BH Online.

Bagaimanapun, katanya, masalah timbul apabila anak sulungnya gagal didaftarkan sebagai warga negara kerana tidak memiliki dokumen perkahwinan ketika membuat pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Cuma anak kedua saja dapat didaftar sebagai warga negara apabila saya sudah memiliki dokumen perkahwinan selepas ke Songkhla semula untuk mengambil surat dari pejabat Konsulat Malaysia Songkhla bagi membuktikan saya sudah berkahwin.

"Namun saya sekali gagal mendaftarkan kerakyatan anak ketiga apabila JPN memberitahu kami perlu mengikut prosedur baru, iaitu menyediakan pasport asal isteri dan beberapa dokumen lain," ujarnya.

Tambah Nor Mohd Yusri, akibatnya dia tidak dapat menyediakan dokumen itu kerana pasport isterinya masih dalam simpanan bekas majikannya.

Katanya, isterinya juga menghilangkan diri dan pulang ke Indonesia pada 2015 menyebabkan masa depan anak mereka kini terumbang ambing.

Mohon sebagai pelajar bukan warga negara

"Sepatutnya anak sulung saya sudah belajar di Tahun Dua tahun ini, malah saya sudah membeli pakaian sekolah tahun lalu.

"Saya juga sudah membuat permohonan untuk dia belajar sebagai pelajar bukan warga negara, namun gagal kerana ada beberapa syarat tidak dapat dipenuhi," katanya.

Jelasnya, dia mengambil inisiatif memohon warga negara buat kedua-dua anaknya tahun lalu, namun permohonan masih dalam proses.

"Saya merayu supaya anak saya diberi taraf warga negara kerana mereka darah daging saya dan lahir di sini.

"Saya juga baru mengetahui kerajaan negeri ada membuat program pemutihan perkahwinan rentas sempadan dan akan cuba memohonnya kerana ini sahajalah sinar buat saya untuk membolehkan anak menjadi rakyat negara ini," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com