Zakat Kedah, Syarikat Korporat Turun Padang Bantu Asnaf


ALOR SETAR - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) bersama-sama dengan beberapa syarikat korporat negeri ini mengadakan Program Ziarah Asnaf Bulanan di Kampung Kuala Sanglang di sini, kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, lawatan ini merupakan julung kali diadakan dimana turut disertai oleh beberapa wakil syarikat dan agensi kerajaan.

"Antara syarikat yang hadir adalah Syarikat Ayam Bismi, Persatuan Kontraktor Melayu Kedah, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan kontraktor THB Berhad.

"Penglibatan syarikat ini secara tidak langsung memberi peluang kepada mereka untuk melihat sendiri golongan asnaf yang kita bantu melalui bayaran zakat mereka.

"Saya harap untuk program akan datang, lebih ramai agensi pembayar zakat yang dapat turut serta bersama LZNK," katanya.

Beliau berkata ketika ditemui selepas Program Ziarah Asnaf Bulanan di Masjid Kuala Sanglang,kelmarin.

Menurut Syeikh Zakaria, LZNK turut mengucapkan segulung tahniah kepada pembantu amil Masjid Kuala Sanglang yang berjaya mendapatkan golongan asnaf dan insan yang memerlukan bantu untuk diringankan bebanan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com