Warga Emas Dari Baling Derita Sakit Kulit Kronik Rayu Bantuan


ALOR SETAR - Seorang warga emas yang mengalami penyakit kulit kronik, merayu bantuan berikutan keadaannya semakin teruk sejak tahun lalu.

Ibrahim Hassan, 64, dari Kampung Baru, Mukim Siong, Baling tidak lagi mampu mencari rezeki selepas menghidap penyakit itu pada Ramadan tahun lalu.

Susulan penyakit itu, badannya menjadi hitam, mengelupas serta bersisik menyebabkan beliau tidak selesa dan hanya berkurung di dalam rumah.

"Hampir setahun saya terlantar dan tidak dapat bekerja kerana keseluruhan badan mengelupas serta bersisik.

"Kulit di badan dan rambut semakin luruh dari sehari ke sehari, terasa sakit serta pedih seperti disiat-siat," katanya ketika menerima lawatan Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Baling, Noor Azman Ramli, di rumahnya, kelmarin.

Menceritakan pengalaman ketika mula diserang penyakit itu, katanya, beliau berasa sejuk di seluruh badan sebelum kulitnya bersisik sedikit demi sedikit.

Jelasnya, beliau pernah berubat secara rawatan tradisional dan ke sebuah klinik di Kulim tetapi keadaan tidak berubah, malah semakin teruk.

"Selepas mendapatkan rawatan di Hospital Baling (HB), saya dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, berikutan keadaan kesihatan semakin uzur," katanya memetik BH Online.

Ibrahim berkata, keadaan kulit badannya kini semakin teruk, termasuk mengeluarkan cecair seperti air bisa dan nanah serta bau kurang menyenangkan.

"Apabila cuaca sejuk, badan saya menjadi kebiru-biruan dan sakit seluruh tubuh," ujarnya.

Kini, beliau terpaksa bergantung kepada isteri, Rafeah Nayan, 63, yang mengambil alih kerja menoreh getah.

Dengan pendapatan menoreh tidak sampai RM300, katanya, mereka berdua terpaksa berjimat dan mengikat perut, namun mendakwa tidak mahu menyusahkan anak yang juga hidup susah.

Selain itu, Ibrahim berharap mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk beliau meneruskan kehidupan bersama isteri dan seorang cucunya, Mohd Danial Haikal Yusri,13.

Sementara itu, Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata pihaknya akan menyiasat kes berkenaan dan akan berikan bantuan kepada keluarga terbabit.

"Kita akan menyiasat kes beliau. Jika layak, JKM akan menyalurkan bantuan bulanan untuk meringankan beban ditanggung keluarga beliau," katanya ketika dihubungi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com