Wanita Terima Bayaran Pakej Umrah Di Kedah Dicari


ALOR SETAR - Polis kini sedang mengesan seorang wanita yang disyaki terbabit dalam penipuan pakej umrah di negeri Kedah.

Wanita itu dipercayai menerima sejumlah wang daripada seorang ustazah hasil kutipan daripada 25 bakal jemaah umrah tahun lalu.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Chan Teik Paing, berkata hasil siasatan terhadap ustazah yang didakwa menipu pakej umrah berkenaan, mendapati dirinya sudah menyerahkan wang itu kepada seorang wanita lain.

"Pihak polis kini sedang mengesan wanita yang didakwa menerima wang itu bagi membantu siasatan," katanya memetik BH Online.

Pada 27 Januari lalu, 12 daripada 25 bakal jemaah membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu seorang wanita bergelar ustazah yang menguruskan pakej umrah membabitkan jumlah keseluruhan RM178,600.

Menurut laporan, kesemua mangsa yang menetap di Guar Chempedak dan Alor Setar mendakwa menyerahkan wang kepada wanita berkenaan di sebuah masjid di Tandop, di sini.

Bagaimanapun, penerbangan mereka ke Makkah yang sepatutnya pada 6 Disember ditunda ke 9 Disember dan ditunda sekali lagi pada 17 Disember tahun lalu sebelum kesemua mangsa membuat laporan kepada Persatuan Pengguna Kedah (CAKE).

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com