Wanita Maut Dalam Perjalanan Pulang Ke Pendang


PENDANG - Seorang wanita maut selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 89.4 Lebuhraya Utara, jam 2.45 petang kelmarin.

Mangsa, Yuzriyanti Mohd Yusoff, 28, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan selepas mengalami kecederaan dalaman pada bahagian dada.

Bagaimanapun ibunya, Tom Mat, 68, yang turut berada di dalam kenderaan jenis Perodua Viva berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menceritakan kembali detik kejadian Tom berkata, dia dan anaknya dalam perjalanan pulang dari rumah anak ketiganya di Bukit Beruntung, Rawang ke rumah mereka di Pendang.

“Dia ada mengadu pada saya yang dia mengantuk, tapi tak sangka pula benda macam ni boleh berlaku.


“Lepas kereta terbabas dan berhenti di tengah jalan saya keluar minta bantuan dan saya panggil anak saya keluar.

“Dia kata kaki tersepit tak boleh keluar dan saya nampak dia terlelap, saya ingat dia pengsan saja sebab tak ada luka atau darah cuma kaki dia saja tersepit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Pendang, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan dalaman di bahagian dada.

“Kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Sumber: Sinar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com