Walaupun Jadi Mangsa Berita Palsu, Saya Terima - PM Najib


SEPANG - Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan mengenai dasar kerajaan yang terus bersikap terbuka terhadap orang muda walaupun beliau sendiri dikritik dan menjadi mangsa berita palsu.

Tegas Perdana Menteri, beliau menerima kritikan yang dilemparkan kerana mengakui hakikat wujudnya proses demokrasi.

“Saya tak buat Ops Lalang. Saya buat dasar untuk beri civil liberties yang lebih terbuka untuk orang muda bersuara. Walaupun mereka kritik, dan walaupun saya jadi mangsa fake news, tetapi saya terima,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Hari Gerakan 4B Malaysia dan Karnival Sukan Muhibah 4B Malaysia di Dataran Banghuris Homestay di sini semalam.

Katanya, beliau meraikan perbezaaan pendapat, namun kritikan itu perlu disertakan dengan tanggungjawab.

“Inilah demokrasi di mana kita mesti beri ruang kepada kritikan. Tetapi, biarlah kritikan itu tanggungjawab.

"Kita boleh berbeza pendapat, tetapi kita tak boleh reka cerita, cerita dongeng, dan cerita buruk kerajaan seperti Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu,” tambahnya.

Beliau memberi contoh, antara berita palsu yang disifatkannya satu penipuan, ialah dakwaan kononnya kerajaan membawa masuk warga Bangladesh sebagai pengundi.

“Pada PRU dulu, kononnya ada Bangladesh yang kita bawa masuk. Ya, ada yang rupa Bangladesh, tetapi kita tidak tipu.

“Kita tak tipu. Kita tubuh kerajaan hari ini atas undi yang kita terima. Kita ingin supaya orang muda sokong kerajaan Barisan Nasional sebagai pilihan utama orang muda,” katanya lagi.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com