UMNO Kuala Kedah Lawat Mangsa Angin Kencang Di Kubang Rotan


ALOR SETAR - Seorang tukang kebun sempat melaungkan takbir ketika angin kencang melanda Kampung Kubang Panggas, Kubang Rotan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 petang itu, Nazri Abu Seman, 42, menyaksikan angin puting menerbangkan bumbung rumah seorang penduduk sebelum ia mencabut bumbung rumahnya sendiri.

“Sebaik melaungkan takbir, pusaran angin kencang yang menggoncang dan merosakkan rumah saya berhenti sebelum ia dilihat bergerak ke arah rumah lain.

“Apabila angin ribut reda, saya dapati separuh bahagian bumbung lesap dan bahagian dinding pula rosak akibat kejadian itu,” katanya yang bersyukur tiada kejadian buruk berlaku menimpa keluarganya.

Menurut Nazri, ini kali pertama kejadian ribut kuat hingga merosakkan rumah yang didiami mereka enam beranak sejak 15 tahun lepas berlaku.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah, Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin berkata, pihaknya segera melawat mangsa selepas menerima maklumat daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Melalui aktiviti turun padang ini, kita mengesan ada tiga rumah dilanda ribut. Malah, salah satu dari kediaman itu mengalami kerosakan agak teruk,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha memastikan kediaman mangsa ribut yang terjejas serius akibat ribut kencang itu dapat dibaiki ataupun bina semula.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com