Tolak Calon Luar Yang Hendak Tanding Di Kedah - Ahmad Bashah


KULIM  - Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meminta rakyat menolak calon luar atau calon 'payung terjun' yang hendak bertanding di negeri Kedah pada pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana calon daripada luar Kedah itu gagal memahami kehendak rakyat setempat serta tidak mampu memberikan perkhidmatan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri mahu pun anggota Parlimen.

Mereka ini (calon luar) mempunyai komitmen di kawasan lain di luar Kedah, kata Ahmad  Bashah semasa berucap di hadapan 300 orang masyarakat Cina sempena Program Jelajah Muafakat Rakyat di Kampung Baru Bagan Semak, Bandar Baharu dekat sini hari ini.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri menyatakan, calon luar pembangkang yang dipilih oleh pengundi semasa pilihan raya lalu datang ke negeri ini hanya atas kepentingan peribadi dan parti mereka.

Oleh itu mereka tidak merasai denyut nadi rakyat setempat dan tidak mengutamakan kepetingan rakyat dalam  perjuangan utama mereka sepertimana yang dilakukan oleh wakil rakyat daripada BN yang berasal dari Kedah, kata Ahmad Bashah.

Beliau memberi contoh, beberapa wakil rakyat pembangkang seperti di kawasan Parlimen Alor Setar, hanya muncul lebih kerap di depan penduduk  bila hampir tiba pilihan raya.

Itu pun kedatangan mereka bukan untuk menyelesaikan masalah rakyat tetapi hanya membuat  cerita sensasi bagi meraih simpati rakyat agar menyokong mereka dan parti mereka pada pilihan raya kali ini, " kata Menteri Besar.

Menurut Ahmad Bashah lagi, kawasan Parlimen yang  tidak dimenangi oleh BN akan memberi kesan kepada penduduk di kawasan itu termasuk tidak memperolehi penuntukan kerajaan Persekutuan  RM6 juta setahun bagi tujuan projek pembangunan.

Beliau meminta rakyat menilai semula apakah mereka lebih mudah  berurusan dengan wakil pembangkang atau wakil rakyat daripada BN. 

"Kami daripada BN tidak akan lari daripada tanggungjawab untuk menjaga kebajikan penduduk di tiap DUN dan Parlimen di samping merancang atau membawa pembangunan ke kawasan berkenaan," ujar Ahmad Bashah.


Menteri Besar hari ini menghabiskan masa beliau sehari suntuk bersama rakyat dalam program turun padang  di kawasan Parlimen Kulim - Bandar Baharu.

Mengikut jadual, Ahmad Bashah bersama anggota Exco  bersarapan pagi bersama rakyat di Kampung Berjaya, diikuti program 'jalan-jalan'  sambil menyampaikan buah limau kepada masyarakat Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina, di Kampung Bagan Semak.

Beliau kemudian mendengar taklimat mengenai projek gerai jualan dan mini ekspo daripada agensi dan Jabatan Pertanian serta menyerahkan kunci rumah, bantuan RISDA, KEDA,  cek Tekun dan Amanah Ikhtiar di KEDA Kampung Sungai Tengas.

Ahmad Bashah juga meraikan guru-guru dan veteran tentera dalam jamuan tengah hari selepas taklimat dan lawatan itu serta bersama Himpunan Anak Muda Bermotor  DUN Bandar Baharu.

Pada sebelah malam beliau menghadiri Pesta Ponggal 2018 bersama rakyat di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Paya Besar.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com