Tokan, 51 Penagih Lalok Dalam Ladang Kelapa Sawit Di Sungai Petani


ALOR SETAR - Seorang tokan dadah ditahan pihak polis bersama 51 yang lain dalam operasi bersepadu di sebuah ladang kelapa sawit menerusi ‘Op Sarang’ di Bandar Baru, Sungai Lalang, Bedong di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, serbuan yang bermula pada jam 8 pagi hingga 4 petang itubermula dengan mengepung ladang tersebut sebelum tangkapan dilakukan.

Hasil pemerhatian sebelum sebuan, sebahagian penagih berumur antara 19 hingga 58 tahun sedang dalam keadaan khayal dan menjadikan kawasan ladang tersebut sebagai sarang untuk menagih dadah dan lalok.

Selain penagih, pihaknya berjaya memberkas seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan pengedar dadah di kawasan tersebut.

“Ketika tiba di kawasan ladang itu, ternampak seorang lelaki melarikan diri dan mencampakkan beg kecil berwarna hitam di kawasan berkenaan, hasil kepantasan anggota kita akhirnya suspek berjaya ditahan.

“Pemeriksaan lanjut pada beg tersebut menemui beberapa bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 25 gram yang dipercayai untuk dijual kepada penagih sekitar kawasan itu,” katanya.

Serbuan itu melibatkan sembilan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda bersama enam anggota daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) 

Suspek pengedar dadah yang ditahan dipercayai bekerja sendiri dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Dalam operasi sama, dua lelaki berusia 40-an turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah heroin seberat 0.20 gram, syabu (0.42 gram) dan ganja (1.48 gram).

Sementara itu, seramai 49 yang lain ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan& Pemulihan) selepas ujian air kencing mendapati positif dadah.

Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM327 yang dipercayai hasil jualan dadah tersebut dan sebuah motosikal curi yang dilaporkan hilang di daerah ini.

Apa yang difahamkan, ini merupakan kali kedua sarang dadah di dalam kelapa sawit itu digempur pihaknya dan serbuan pada 17 Januari lalu membawa kepada penahanan 14 penagih. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com