Tipu: Polis Thailand Tahan 3 Warga Malaysia


SONGKLA – Polis Thailand menahan tiga rakyat Malaysia termasuk seorang wanita mengan­dung di bandar pelancongan Hatyai kerana dipercayai terlibat dengan sindiket penipuan pusat panggilan.

Ketua Polis Imigresen Songkla Mejar Jeneral Jeksada Yaisoon berkata, ketiga-tiga rakyat Malaysia itu dan seorang penduduk tempatan ditahan ketika mengeluarkan wang di mesin pengelua­ran wang (ATM) di Hatyai 4 petang semalam (waktu tempatan).

“Mereka bertanggungjawab me­­ngeluarkan wang daripada mesin ATM atas arahan sindiket dan diberikan komisen dua peratus bagi setiap sejumlah wang yang dikeluarkan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki rakyat Malaysia itu berumur 43 dan 28 tahun manakala wanita sedang mengandung itu berumur 26 tahun berasal dari Ipoh, Perak dan dipercayai baru sahaja be­kerja dengan sindiket penipuan terbabit selama dua bulan.

Menurut Jeksada, pihak ber­kuasa Thailand menemui 17 ke­ping kad ATM bank tempatan dan Malaysia, pelbagai buku bank tempatan, wang tunai, slip pengeluaran wang dan kad pengenalan ketika menahan keempat-empat suspek.

Keempat-empat mereka kini ditahan di Balai Polis Hatyai untuk siasatan lanjut, katanya.

Selasa lepas, seorang rakyat Malaysia berumur 38 tahun ditahan di Bangkok, juga dipercayai bekerja dengan sindiket penipuan pusat panggilan untuk mengeluar­kan wang mangsa-mangsa peni­puan menerusi mesin ATM.

Menurut polis Thailand, suspek diberikan komisen empat pe­ratus bagi setiap wang yang dikeluarkan daripada mesin ATM dan bertindak meninggalkan Thailand dengan segera selepas selesai berbuat demikian. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com