Tips Kesihatan Couch Yin Diselar Pakar Jantung


NAMA Couch Yin yang juga merupakan seorang jurulatih kecergasan mula dikenali ramai selepas dilihat sering muncul di samping pengasas kosmetik, Nur Sajat.

Memetik laporan OH BULAN, jurulatih ini bukan sahaja menjual makanan tambahan bagi mempercepatkan tumbesaran otot malah dia gemar berkongsi tips-tips kesihatan kepada orang ramai khususnya kaki gym.

Pun begitu, baru-baru ini salah satu daripada perkongsian tips Couch Yin menarik perhatian ramai menerusi laman sosial termasuk seorang doktor pakar jantung.


Menerusi entri berkenaan, Couch Yin dilihat mengingatkan para pengikutnya untuk berehat lebih kurang 3 jam selepas selesai melakukan workout.

Ia bagi elak sebarang kejadian tidak diingini berlaku. seperti mana dakwanya terdapat manusia meninggal dunia dalam tidur kerana sakit jantung berikutan tidak mendapat rehat yang cukup selepas bersenam.






Ironi, tips itu diselar seorang doktor pakar jantung, Dr. Beni Rusani yang memaklumkan semua manusia boleh sahaja bersenam di waktu malam dan terus tidur tanpa perlu berehat seperti mana disaran oleh jurulatih itu.

Malah, doktor tersebut sempat berseloroh dengan memberi nasihat bahawa meskipun boleh berbuat demikian namun seseorang itu dinasihatkan untuk mandi terlebih dahulu untuk menyegarkan tubuh badan sendiri.

Hal ini juga bagi mengelakkan kemarahan pasangan masing-masing berikutan bau yang kurang enak ketika berada di atas katil untuk tidur!

Pada masa sama, perkongsian berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi netizen yang ada antara mereka beranggapan Couch Yin sengaja memuat naik pos berkenaan sebagai strategi pemasaran.

Bukan itu sahaja, malah ada juga yang tampil meluahkan pernah menonton video pakar yang mengatakan senaman berat waktu malam boleh menyukarkan untuk tidur.

Perkara berkaitan diakui oleh Dr. Beni sendiri, namun beliau tetap menolak tidur selepas bersenam boleh membawa maut. Apa pula pandangan doktor pakar yang lain ya? –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com