Tiket Bas, Tren KTMB Tahun Baharu Cina Habis Dijual


KUALA LUMPUR – Tiket bas dan kereta api untuk perjalanan ke destinasi utara dan pantai timur menjelang sambutan Tahun Baharu Cina sudah habis dijual.

Tinjauan Bernama di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) mendapati tiket bas perjalanan dari Lembah Klang ke Kota Bahru dan Kuala Terengganu bermula 13 Feb hingga 15 Feb serta 18 Feb hingga 21 Feb untuk perjalanan kembali ke Lembah Klang, sudah habis dijual.

Kira-kira 60 peratus tiket bas bagi perjalanan ke utara dan pantai timur pada 16 dan 17 Feb pula sudah dijual.

Menurut petugas kaunter jualan tiket bas TBS, tiket bas yang sudah mula dijual pada dua bulan lalu telah habis dijual sejak sebulan yang lepas.

“Kebanyakan warga kota mula menempah secara online sejak bulan November lagi, itulah sebabnya tiket cepat habis dijual,” katanya kepada Bernama.

Bagi penumpang yang mahu mendapatkan tiket perjalanan ke selatan seperti Melaka dan Johor untuk Tahun Baharu Cina, dinasihatkan untuk membeli seawal mungkin bagi mengelakkan kehabisan tiket.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke Stesen Sentral Kuala Lumpur turut mendapati tiket perjalanan tren dari Lembah Klang ke utara bermula 13 Feb hingga 15 Feb sudah habis dijual.

Pengurus Kanan Pemasaran KTMB Antara Bandar, Mohd Noordin Kimi berkata warga kota sudah mula menempah tiket sama ada menerusi online atau kaunter sejak tiga bulan lalu dan telah habis dijual pada awal Januari.

“Bagaimanapun, tiket perjalanan ke selatan dan Singapura masih ada dan warga kota dinasihatkan untuk membeli awal sebelum habis dijual,” katanya.

Mahasiswa Institut Pengajian Swasta Zack Ong, 20, berkata beliau memilih pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru seminggu lebih awal bagi mengelakkan tiket habis dijual ketika saat akhir.

“Pada hari biasa tiada masalah untuk saya membeli pada saat akhir namun bagi Tahun Baharu Cina, saya akan pulang lebih awal kerana mahu mengelakkan kesesakan dan tiket habis dijual,” katanya.

Suri rumah Peggy Leong, 53, berkata beliau menempah tiket tren sebulan lebih awal pulang ke Ipoh, Perak kerana khuatir tiket habis dijual pada saat-saat akhir.

“Tahun lepas saya sudah terlepas untuk membeli tiket Tahun Baharu Cina dan terpaksa menumpang kereta rakan untuk pulang ke kampung halaman.

“Jadi pada tahun ini saya mengambil langkah lebih awal untuk membeli tiket pergi balik secara online bagi mengelakkan daripada beratur panjang di kaunter,” katanya. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com