Tiga Lelaki Beserta Bot Nelayan Ditahan Ceroboh Perairan Yan


ALOR SETAR - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kedah hari ini menahan tiga lelaki beserta bot nelayan kelas C kerana didapati bersalah melanggar syarat lesen dengan menceroboh kawasan perairan yang tidak dibenarkan.

Pengarah Maritim Pangkalan Kuala Kedah, Lt Komander Maritim Ahmad Kamal Mohd Noor berkata, mereka yang ditahan adalah tekong dan dua awak-awak berumur lingkungan 40-an warganegara Thailand.

Mereka ditahan kira-kira jam 9.35 malam semalam pada kedudukan 4.2 batu nautika barat pantai Sedaka di Yan.

“Hasil soal siasat mendapati kesemua mereka yang berada di atas bot itu dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dengan kesalahan melanggar syarat-syarat yang tertera pada lesen.

“Bot tersebut bersama lebih kurang 400 kilogram ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Pangkalan Kuala Kedah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Ahmad Kamal, tindakan tegas akan diambil kepada pengusaha-pengusaha bot nelayan yang tidak mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Maritim Malaysia memandang serius terhadap kesalahan melanggar undang-undang di perairan negara dan berharap orang ramai bekerjasama dengan melaporkan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim yang berlaku di perairan negara ini,” katanya.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan di talian 24 jam MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Pangkalan Kuala Kedah di talian 04-731 0579. - Kedahnew.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com