Tiga Beranak Maut Dalam Kemalangan Dekat Kulim


KULIM – Sepasang suami isteri serta anak perempuan mereka berumur setahun empat bulan maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori sampah di Jalan Kampung Batu 12 Terap, Serdang di Bandar Baharu dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Azli Adzali, 45, dan isterinya Asimah Saari, 32, serta anak perempuan mereka Nur Anis Umairah meninggal dunia di tempat kejadian.

Bapa Asimah, Saari Man, 71, yang turut berada dalam kereta itu dilaporkan cedera parah di paru-paru akibat tertusuk tulang rusuk yang patah.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ahmad Nasir Jaafar ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian itu dan berkata siasatan awal pihaknya mendapati kejadian itu berlaku apabila kereta jenis Proton Satria Neo dipandu Azli dari Serdang menuju ke Kulim itu terbabas sebelum bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan.

Katanya mayat tiga beranak itu dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat. Saari turut dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, menurut Ishak, 33, abang Asimah, dia mengetahui tentang kejadian yang menimpa anggota keluarganya itu daripada kakak sulung mereka melalui panggilan telefon kira-kira 12 tengah hari semalam.

Ishak berkata kali terakhir dia berjumpa Azli adalah sekitar 9 pagi tadi apabila adik iparnya itu datang berjumpanya yang menetap di Kilang Lama untuk meminjam kenderaannya bagi menziarahi anggota keluarga Azli yang meninggal dunia di Bandar Perda dekat Pulau Pinang.

“Mereka tinggal di Keda Sungai Salleh dan Azli datang seorang sahaja memandangkan mereka tidak ada kereta. Pada masa itu kami pun tidak bercakap banyak, sebab dia nak pergi menziarahi ahli keluarganya yang meninggal dunia di Bandar Perda,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kulim.

Ishak berkata jenazah tiga beranak itu itu dijangka dikebumikan di tanah perkuburan di Masjid Keda Sungai Salleh selepas urusan bedah siasat selesai.- Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com