Tiga Beranak Diberkas, Ugut, Halang Petugas MP Langkawi


ALOR SETAR - Pihak polis terpaksa menahan tiga sekeluarga selepas dipercayai cuba menghalang dan mengugut sepasukan penguat kuasa Majlis Perbandaran Langkawi (MPL) daripada menjalankan kerja-kerja merobohkan struktur bangunan yang dibina mereka secara tidak sah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, DSP Mahani Mohamed berkata, ketiga-tiga mereka adalah pasangan suami isteri dan anak lelaki.

Kesemua mereka ditangkap pada Khamis lalu selepas polis menerima laporan berhubung kejadian yang dibuat oleh seorang daripada penguat kuasa terbabit.

Kes ini disiasat ​​menurut Seksyen 186 dan 506 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta membuat ugutan jenayah, katanya ketika dihubungi.

Klip video berhubung kejadian terbabit turut menjadi tular menerusi media sosial.

Antara lain, klip video itu memaparkan seorang wanita berteriak "Pistol ambik… tembak!" selain menunjukkan suspek lelaki berusia lingkungan 50-an memaki hamun penguat kuasa MPL yang cuba menghentikan pembinaan struktur haram dalam kejadian di Mukim Ulu Melaka di sini.

Video tersebut dipercayai dirakam oleh seorang daripada penguat kuasa tersebut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com