Tiada Perubahan Kedudukan Kerusi Antara Kompnen BN Di Kedah


Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata setakat ini tiada perubahan dalam agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) antara parti komponen bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata sekalipun terdapat desakan akar umbi agar diadakan pertukaran kerusi, perkara itu belum dibincangkan oleh BN Kedah.

"Setakat ini status quo kekal," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN negeri, di Alor Setar semalam.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, berkata sebarang isu pertukaran kerusi akan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi.

Beliau mengulas desas-desus desakan akar umbi yang mahu UMNO mengambil alih kerusi tradisi Gerakan di DUN Derga yang kini disandang DAP.

DUN Kedah mempunyai 36 kerusi dengan 28 kerusi ditandingi UMNO, empat diperuntukkan kepada MCA sementara MIC dan Gerakan masing-masing mempunyai dua kerusi tradisi.

Empat kerusi MCA ialah Kota Darulaman, Gurun, Bakar Arang dan Kulim sementara MIC bertanding di Bukit Selambau dan Lunas manakala Gerakan diperuntukkan Derga serta Sidam.

Sementara itu, Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata sebanyak 33 Pusat Daerah Mengundi (PDM) parti komponen BN telah bersedia bagi menghadapi PRU14 nanti.

"Kita ada 672 PDM keseluruhannya dan 33 adalah PDM parti komponen...kita tengok jentera MCA, MIC, Gerakan, PPP telah siap sedia untuk menghadapi pilihan raya dan saya berharap usaha yang dilakukan jentera BN kali ini akan membawa kejayaan kepada BN," katanya.

-Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com