Terowong Dasar Laut: Guan Eng Dikecam 'Ganggu' Siasatan SPRM


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dikecam oleh Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)  kerana cuba mengganggu atau mempersoal kredibiliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menjalankan tugas menyiasat dan mencegah rasuah.

Presiden MCW Jais Abdul Karim berkata MCW mewakili suara rakyat mendesak agar Guan Eng akur dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM bagi membolehkan kes yang disyaki rasuah dapat disiasat mengikut prosedur dan tanpa sebarang gangguan.

Abdul Karim menegaskan perkara itu ekoran kenyataan Setiausaha Agung DAP itu yang menuduh SPRM sengaja 'memerangkap' mereka berikutan dua orang anggota Exco Kerajaan Negeri dipanggil untuk siasatan kes berkaitan isu kontroversi  projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

MCW menyokong tindakan tegas SPRM untuk menyelesaikan siasatan kes ini dengan segera. Semua pihak yang dipanggil untuk siasatan perlu akur dan memberikan kerjasama dengan baik," katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Menurutnya sebagai pemimpin parti politik yang berpegang kepada dasar Cekap, Amanah dan Telus (CAT), mereka (DAP) sewajarnya memberi sokongan penuh kepada SPRM yang akan dapat membersihkan imej mereka jika terbukti tidak bersalah.

Sementara itu Ketua Menteri II, Dr. P. Ramasamy yang dipanggil memberi keterangan bagaimanapun tidak mempersoalkan tindakan SPRM itu kerana beliau tahu ia adalah tugas pihak SPRM untuk memanggil siapa juga dalam siasatan kes terowong itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com