Tercalon 10 Jaringan Terbaik AFC, Jangan Lupa Undi Gol Daniel Amier


KUALA LUMPUR - Jaringan pemain tengah Daniel Amier Norhisham dicalonkan sebagai 10 jaringan terbaik Kejohanan Bawah 23 Tahun AFC di China, minggu lalu.

Jaringan pemain FELDA United itu dihasilkan pada aksi terakhir Kumpulan C bertemu Arab Saudi yang turut menjadi gol kemenangan sekali gus membantu anak buah Datuk Ong Kim Swee mencipta sejarah muncul pasukan pertama Asia Tenggara mara ke suku akhir kejohanan itu.

Menerusi undian yang boleh dilakukan di laman web rasmi AFC, Daniel perlu bersaing dengan lapan pemain yang turut sama berjaya menempatkan diri dalam senarai 10 jaringan terbaik pada kejohanan yang menyaksikan Uzbekistan muncul juara selepas menundukkan Vietnam 2-1 di final.

Pemain sayap Vietnam, Nguyen Quang Hai yang meledak lima gol pada kejohanan itu berjaya melakar dua jaringan terbaik menerusi sepakan percuma melencong yang dilakukan pada final bertemu Uzbekistan dan jaringan ketika bertemu Qatar.

Pemain tengah Korea Selatan, Han Seung Gyu yang mengecewakan skuad negara selepas meledak gol kemenangan pada suku akhir turut disenaraikan menerusi gol bertemu Australia dan juga jaringan pemain tengah Iraq, Mohammed Jaffal ketika bertemu Malaysia pada aksi pembukaan Kumpulan C.

Antara lain adalah jaringan Azizjon Gannev (Uzbekistan) bertemu Korea Selatan; Almoez Ali (Qatar) menentang China; Baha Faisal (Jordan) bertemu Arab Saudi; Mohanad Fannoun (Palestin menentang Thailand) dan Jasurbek Yakshiboev (Uzbekistan) bertemu Korea Selatan.

Setakat ini, Quang Hai mendahului kedudukan satu dan dua yang menyaksikan jaringannya bertemu Uzbekistan meraih 116,717 undian sementara satu lagi jaringannya mendapat 40,645 undian.

Daniel Amier pula menghuni kedudukan ketiga namun perbezaan undian yang begitu besar dapat disaksikan apabila dia hanya meraih 8,789 undian setakat ini.

Undian boleh dilakukan di laman web www.the-afc.com dan semua gol itu boleh ditonton di laman sama.

http://www.the-afc.com/news/afcsection/vote-for-your-best-goal-of-the-af...

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com