Telefon Pintar Guru Belum Ditemui: Polis


GEORGETOWN - Telefon pintar milik seorang guru yang dikatakan dicuri mendiang M Vasantha Piriya, masih belum ditemui seperti didakwa beberapa pihak.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafee Abd Samad, berkata dakwaan ahli keluarga yang mengatakan telefon bimbit terbabit ditemui tercicir di kedai makan adalah tidak benar.

"Biar kita jalankan siasatan terlebih dahulu dan jangan terlalu mempercayai sebarang berita yang tidak sahih.

"Jika banyak dakwaan tidak sahih tersebar, ia akan mengganggu proses siasatan yang kini sedang dijalankan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai diminta bersabar dan jangan sesekali membuat sebarang spekulasi terutama menyebarkan maklumat tidah sahih di laman sosial.

Khamis lalu, Vasantha Piriya, 14, meninggal dunia selepas sembilan hari bertarung nyawa ketika mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya kerana cuba membunuh diri.

Pelajar tingkatan dua itu dikatakan tertekan kerana dituduh mencuri telefon pintar milik gurunya sebelum mengambil keputusan menggantung diri.

Kes berkenaan menjadi tular di media sosial dan setakat ini polis sudah menyerahkan hasil siasatan kejadian itu kepada pihak pendakwa raya dan menunggu arahan selanjutnya untuk tindakan susulan.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com