Tawar Maksiat RM10 Sejam Untuk Yang Kemaruk Dosa


PROMOSI hotel bajet di daerah ini yang menawarkan harga serendah RM10 sejam, menjadikan ia sebagai lokasi pasangan bercinta memadu asmara dan melakukan maksiat.

Ia terbongkar dalam serbuan Op Minyak dan Op Kurung oleh pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) terhadap tiga hotel di Port Dickson, kelmarin.

Dalam serbuan dijalankan bermula 11 malam hingga 4 pagi itu, lima pasangan berusia 20-an ditahan kerana disyaki berkhalwat di dalam bilik hotel berkenaan.

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS Ahmad Zaki Hamzah berkata, pihaknya menyerbu tiga hotel bajet yang sering menjadi tumpuan pasangan bercinta melakukan maksiat.

"Hasil pemeriksaan, kita menahan 10 individu dalam keadaan mencurigakan tanpa sebarang hubungan mahram yang sah. Turut ditemui beberapa kondom yang disyaki digunakan untuk aktiviti itu.

"Soal siasat dilakukan mendapati premis berkenaan menawarkan daftar masuk mengikut kadar jam pada harga serendah RM30 bagi tempoh tiga jam," katanya dalam kenyataan semalam.

Selain itu, Ahmad Zaki berkata, pihaknya turut menyerbu dua pusat refleksologi di Batu 9 dan PD Sunggala Gateway, Port Dickson, yang disyaki menawarkan khidmat seks kepada pelanggannya.

Katanya, dua lelaki beragama Islam berusia 30-an dan dua tukang urut wanita warga asing ditahan.

"Ketika serbuan, penjaga premis dikesan menekan suis di kaunternya yang menyebabkan lampu amaran di dalam bilik urutan menyala sebagai memberi amaran kepada pelanggan mengenai kehadiran penguat kuasa," katanya.

Tambah beliau, semua yang ditahan dibawa ke pejabat Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 61(1) Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com