Tarif Elektrik Negara Keempat Terendah Di Dunia


KOTA BHARU - Kadar tarif elektrik bagi kegunaan domestik negara berada pada kedudukan keempat terendah di dunia selepas Sweden, China dan Taiwan.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, antara faktor tarif elektrik negara rendah adalah disebabkan penarafan kredit yang baik.

Beliau berkata, kestabilan negara dan dasar kerajaan juga turut menyumbang kepada taraf elektrik yang rendah berbanding negara lain dunia.

"Penarafan kredit kita berada pada paras yang sangat baik, biasanya syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan kewangan meletakkan Malaysia pada kedudukan 'double A' iaitu iklim pelaburan sangat baik termasuk dalam sektor tenaga.

"Dasar kerajaan juga menyebabkan perjanjian tenaga antara 40 pembekal tenaga dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dapat dibuat sehingga 21 tahun yang membolehkan pembayaran balik dalam tempoh panjang dan kadar faedah yang rendah.

"Banyak negara lain perjanjian tenaga hanya dapat dilaksanakan bagi tempoh pendek seperti lima tahun sahaja malah ada yang tiada langsung perjanjian yang menjadi faktor tinggi," katanya kepada pemberita selepas program Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi menjelaskan Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) di Pusat Dagangan Kelantan (KTC) di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Ir. Mohd Aminuddin Mohd Amin; Pengurus Besar TNB Kelantan, Datuk Ir. Yuslan Yusof dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) negeri, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal.

 Lebih 1,000 peserta terdiri daripada penjawat awam, pemimpin masyarakat dan pelajar menghadiri sesi dialog tersebut.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com