Tanah Runtuh Di Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands


KUANTAN - Orang ramai diminta berhati-hati melalui Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands berikutan kejadian tanah runtuh sepanjang kira-kira 100 meter dekat Kampung Meter Pos Betau, Lipis pada jam 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azry Akmar Ayob, berkata kejadian di Kilometer 30 Jalan Sungai Koyan-Cameron Highlands itu, dimaklumkan orang ramai ke Balai Polis Sungai Koyan sejam kemudian sebelum pihaknya menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada kemalangan jiwa atau kenderaan terjejas akibat runtuhan tanah itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan pihak JKR daerah.

"Anggota Balai Polis Sungai Koyan sudah pergi ke lokasi kejadian dan melakukan kerja meletakkan papan tanda dan garisan polis di kawasan tanah runtuh.

"Kejadian juga turut dimaklumkan kepada Roadcare Sdn Bhd untuk menjalankan kajian struktur tanah adakah ia masih selamat untuk dilalui kenderaan buat masa ini," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Bagaimanapun, katanya, satu lorong menghala ke Cameron Highlands masih boleh dilalui kenderaan seperti biasa, manakala laluan menghala ke Kuala Lipis ditutup buat sementara waktu hingga dimaklumkan kelak.

Difahamkan, hujan lebat sejak beberapa hari lalu di sekitar lokasi kejadian dipercayai menjadi punca kejadian.

Azry Akmar turut menasihatkan pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu supaya berhati-hati terutama pada waktu malam.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com