Tambah Baik Pengetahuan Psikologi Guru: Mahdzir


ALOR SETAR - Pengetahuan mengenai psikologi dalam kalangan pendidik boleh ditambah baik dari semasa ke semasa bagi mengelakkan kejadian pelajar membunuh diri berulang.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya berpendapat penambahbaikan dan penyesuaian dari segi ilmu psikologi itu sememangnya dapat dilakukan memandangkan ia sudah diajar di setiap Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta universiti awam di negara ini.

"Pengajaran ilmu psikologi ini boleh ditambah baik dari semasa ke semasa memandangkan ia sudah pun menjadi sebahagian daripada bentuk pengajaran di setiap IPGM dan universiti di negara ini kerana saya fikir guru sudah pun memahami ilmu ini sebaik mungkin terutama ketika berdepan dengan murid atau pelajar di sekolah mereka.

"Dalam masa yang sama juga kita menzahirkan kesedihan, simpati dan takziah kepada kedua ibu bapa serta keluarga mendiang pelajar yang meninggal dunia akibat kes berkenaan dan kita menyerahkan segalanya kepada siasatan polis,'' katanya memetik BH Online.

Berikut adalah ucapan beliau kepada pemberita selepas merasmikan Majlis 'Estate Run' 2018 di 'Homestay' Kampung FELCRA Belimbing Tolak, Mukim Tualak, Kuala Nerang, disini pada Jumaat.

Jelasnya, buat masa ini, guru yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan sudah pun dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah sementara menunggu siasatan penuh dijalankan oleh pihak berkuasa dan Jabatan Pendidikan Negeri.

"Biarlah untuk sementara ini, satu siasatan penuh dibuat terlebih antara pihak sekolah dan guru dan segala apa jua keputusan akan dilakukan selepas siasatan kes ini selesai.

"Guru yang dipercayai 'terbabit' dalam kes berkenaan juga kini sudah pun dipindahkan ke Pejabat Pendidikan Daerah sementara sehingga proses lengkap," ujarnya.

Sementara itu, seramai 800 peserta pelbagai bangsa yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dan IPG Kampus Darulaman menyertai program 'Estate Run' 2018 yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia Kedah itu.

Program turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan seperti demonstrasi makanan tradisonal Kedah, gerai jualan dan pameran kraftangan.

Turut hadir adalah, pengarah Tourism Malaysia Wilayah Utara, Sani Sham Ahmad.- Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com