Tak Perlu Sambut Hari Kekasih


KUALA TERENGGANU - Remaja Muslim diingatkan supaya tidak menjadikan sambutan hari kekasih atau Valentine’s Day sebagai budaya kerana khuatir ia akan membawa kepada perkara yang akan melanggar syariat Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata, sebagai Muslim, amalan sambutan itu terutama dalam kalangan pasangan kekasih dilihat tidak wajar diraikan.

“Islam mempunyai tatacara hidup yang baik dan sambutan hari kekasih adalah budaya yang jauh berbeza dengan apa yang sepatutnya kita laksanakan dan amalkan.

“Kita tak perlu berbangga dengan budaya yang lain kerana bimbang ia akan mengancam akidah kita sebagai Muslim seterusnya membawa kepada perkara yang tidak baik dan tidak disukai ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Ghazali berkata, sebagai umat Islam, ada cara bagi meraikan insan tersayang menurut agama dan berdasarkan syariat Islam.

“Banyak lagi perkara baik yang kita boleh amalkan dan dalam masa yang sama mendapat keredaan ALLAH SWT.

“Pilihlah jalan supaya kita tidak terjebak dalam kemurkaan ALLAH SWT kerana itu adalah yang terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, Ghazali ketika ditanya mengenai penguatkuasaan yang akan dijalankan oleh jabatan agama Islam di negeri ini bagi membendung perkara maksiat sempena sambutan hari kekasih, katanya ia bergantung kepada keperluan.

“Biasanya memang kita akan adakan rondaan dan pengawasan di kawasan-kawasan yang ‘panas’ bagi mengelak perkara-perkara yang tidak baik dilakukan.

“Tahun ini ia akan dijalankan seperti biasa, InshaaALLAH, kita akan ambil langkah waspada. Kalau ada keperluan nak tambah rondaan atau bilangan penguat kuasa, kita akan laksanakan.

“Ini sebagai ikhtiar bagi mengelak remaja kita terjebak dalam perkara yang melanggar syariat Islam,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com