Tak Mahu Lepas Waktu, Haqiem Rusli Solat Belakang Pentas


PADA usia yang muda, penyanyi Haqiem Rusli sering menunjukkan contoh yang baik kepada para peminatnya sehingga setiap tindak tanduknya menjadi perhatian ramai.

Baru-baru ini, tersebar gambar penyanyi Jatuh Bangun itu ketika dia sedang solat di belakang pentas sambil beralaskan sampin sebelum membuat persembahan.

Namun, penyebaran gambar itu langsung tidak diketahui oleh tuan empunya badan sehinggalah ia tular apabila ramai yang memuji tindakannya itu.

“Sejujurnya saya tak ada niat nak menunjuk-nunjuk atau riyak dengan bersolat di belakang pentas.

“Malah, saya pun tak tahu bila gambar tersebut diambil oleh peminat dan tiba-tiba ia tersebar di laman sosial,” katanya dipetik daripada mStar Online.

Sebab utama Haqiem mengambil keputusan untuk solat di ruangan kecil belakang pentas itu ialah kerana surau terletak sedikit jauh daripada lokasi pentas.

Jadi, jika dia bergegas ke surau, kemungkinan besar dia akan terlewat dan wudhuknya mungkin akan terbatal jika tersentuh dengan yang bukan mahram.

“Sebenarnya saya dah terlambat mengerjakan solat ketika itu dan kedudukan surau pula agak jauh dari pentas. Jadi saya memilih untuk bersolat di ruangan kecil di belakang pentas kerana tidak mahu terkejar-kejar.

“Kalau saya memilih bersolat di surau, pasti akan mengambil masa yang agak lama kerana perlu bertemu peminat dan bimbang jika wuduk terbatal kerana bersentuhan dengan bukan mahram,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun, penyanyi berbakat besar itu langsung tidak ambil hati dengan penyebaran gambarnya itu kerana kemungkinan ia akan menjadi contoh kepada yang lain.

Disebabkan gambar itu tidak mengaibkan dirinya, jadi ia bukanlah perkara besar dan dalam masa yang sama dia dapat menyebarkan kebaikan kepada orang ramai.

“Saya tak marah orang yang ambil gambar itu kerana ia secara tak langsung membuka mata masyarakat mengenai kewajiban menunaikan solat.

“Tak kira kita berada di mana sekalipun, kalau tempat itu bersih, tak salah untuk kita bersolat.

“Moga-moga apa yang dikongsikan oleh peminat itu membawa manfaat kepada semua dan jadikan ia pengajaran untuk kita semua,” tambahnya lagi yang kini sedang sibuk menjalani persiapan Anugerah Juara Lagu Ke-32.

Lagu Tergantung Sepi telah berjaya membawa Haqiem ke pentas penuh berprestij yang menjadi impian setiap penyanyi di Malaysia.

Dalam masa yang sama, dia juga sedang dalam perancangan untuk melancarkan mini album yang di dalamnya terdapat sebanyak enam buah lagu dalam masa terdekat ini.

Lebih menarik lagi apabila Haqiem bakal mencipta sebuah lagu berbahasa Inggeris yang berjudul Qiemilio khas buat peminatnya.

Qiemilio memberi maksud kepada fan club Haqiem sendiri dan kini dia juga bakal menjalankan Qiemilio Tour di Kuching, Sarawak pada Mac ini. – Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com