Tak Dibenar Makan Dalam Bas, Terpaksa Berlapar 6 Jam – Faiz Dickie


PETALING JAYA - Personaliti media sosial, Faiz Dickie berkongsi pengalamannya yang ‘tragis’ apabila terpaksa berlapar hampir 24 jam.

Semuanya gara-gara dia tidak dibenarkan makan di dalam bas ketika dalam perjalanan selama enam jam dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur pada Ahad.

Faiz atau nama sebenarnya Mohd Nasrul Faiz Abu Azal berkongsi keluhan itu di Instagram menerusi aplikasi Insta Story pada hari yang sama.

Faiz berkata, dia selama ini tidak mengetahui mengenai larangan makan di dalam bas ekspres kerana sebelum ini tidak pernah dilarang berbuat demikian semasa menaiki pengangkutan awam itu.

Katanya, jadual perjalanan bas adalah pada pukul 1.45 petang Ahad tetapi kali terakhir dia menjamu selera adalah pada makan malam Sabtu kira-kira pukul 10 malam.

"Pagi Ahad pula saya tak sempat nak sarapan dan bercadang untuk membeli makanan segera untuk dimakan di dalam bas.

"Tapi pemandu bas tak benarkan saya dan pembantu bawa masuk makanan. Sudahnya, saya simpan makanan di dalam beg yang kami letak di ruang penyimpanan barang di bahagian bawah bas.

"Perjalanan pula mengambil masa lebih lama kerana kesesakan lalu lintas di beberapa kawasan dan kami hanya berhenti sekejap untuk ke tandas di R&R (Rehat dan Rawat) Ayer Keroh. Tak boleh makan dalam bas, dah macam puasalah kalau dah niat sebab lama betul tak makan sejak malam sebelumnya," katanya kepada mStar Online pada Isnin.


Walaupun terpaksa akur dengan larangan pemandu bas berkenaan, Faiz kemudian mengambil inisiatif untuk mendapatkan penjelasan daripada syarikat bas tersebut dan mendapat maklum balas, sebagaimana yang dikongsinya di laman sosial pada Isnin.

Berdasarkan maklum balas menerusi kiriman emel kepada Faiz, syarikat bas tersebut menjelaskan bahawa penumpang dibenarkan untuk makan di dalam bas selagi ia tidak mengganggu penumpang lain seperti makanan berbau.

"Ramai penumpang selepas makan, sampahnya akan ditinggalkan begitu saja. Pemandu bas bukan malas untuk membersihkannya tetapi mereka perlu mengejar masa untuk mengambil penumpang yang seterusnya.

"Bagi minuman pula perlulah membawa minuman yang tertutup, bukan yang mudah tumpah seperti di dalam cawan. Bila minuman tumpah dan lantai melekit, ia akan mendatangkan ketidakselesaan kepada penumpang lain,” katanya.

Mengulas mengenai maklum balas itu, Faiz berkata, penjelasan mengenai garis panduan tersebut masih samar kerana makanan yang tidak berbau adalah subjektif.

"Tapi pengajarannya adalah sebagai penumpang, kita perlu tahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan apabila menaiki bas.

"Pihak syarikat bas pula perlu ada budi bicara terhadap penumpang terutama dalam mereka yang tidak sihat atau mengalami masalah gastrik," ujar Faiz.


Sementara itu, Timbalan Presiden Pengusaha Bas Ekpres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Tajudin Mohd Yunus ketika dihubungi mencadangkan penumpang hanya boleh membawa makanan ringan untuk dimakan di dalam bas.

"Kita faham keadaan tertentu yang dialami penumpang seperti lapar dan tempoh perjalanan yang lama, tapi janganlah bawa makanan berat, berkuah atau berbau yang boleh mengganggu ketenteraman penumpang lain.

"Saya nasihatkan bawa masuk makanan ringan seperti roti dan air kotak. Apa yang paling penting penumpang perlu menjaga kebersihan semasa di dalam bas, jangan buang sampah merata-rata," katanya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com