Susahlah Kami Nak Tengok Bola - Peminat Kedah


LIPUTAN internet yang belum menyeluruh di negara ini menyaksikan ramai penyokong bola sepak di banyak tempat masih gagal menikmati siaran langsung atas talian melibatkan 132 perlawanan Liga Malaysia bagi musim 2018.

Usaha yang digerakkan oleh Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLPP) bagi menjenamakan semula Liga Malaysia melalui iflix awalnya mendapat pujian ramai namun selepas beberapa perlawanan, mereka kembali mengeluh.

Apa tidaknya, bagi mereka yang berada di kawasan bandar seperti Alor Setar dan Sungai Petani yang sedang asyik menyaksikan siaran langsung tiba-tiba terhenti terutamanya pada perlawanan Piala Sumbangsih 2018 di antara JDT bertemu Kedah pada Sabtu lalu.

Bagi mereka yang tinggal di kawasan pendalaman seperti Padang Terap, Sik dan Baling pula, mereka hanya mampu mengeluh sahaja berikutan capaian internet yang begitu terhad.

Pengerusi Kelab Penyokong Setia Hijau Kuning (PSHK), Mohd Noor Farzli Adenan berkata, pihaknya menyambut baik usaha FMLLP yang mahu menyiarkan semua perlawanan membabitkan Liga Super dan perlawanan terpilih Liga Premier pada musim ini.

Namun, selepas banyak penyokong merungut kerana gagal menyaksikan siaran langsung melalui streaming akibat  jumlah trafik yang tinggi, beliau berharap pihak terbabit dapat meningkatkan lagi sistem server agar lebih ramai dapat menikmatinya dengan lebih baik.

"Bagi saya iflix ini ada baik dan buruk. Baiknya, sebagai satu perniagaan yang baik untuk Liga Malaysia kerana menerima RM30 juta setahun dari iflix. Namun, buruknya ada kawasan-kawasan pendalaman yang liputan internetnya tidak kuat, memang mengecewakan," katanya kepada Sukan Sinar.

Apa yang diungkapkan oleh Mohd Noor Farzli ada asasnya apabila tinjaun di Facebook rasmi iflix rata-rata penyokong bolasepak negara memberi maklumbalas yang cukup tidak berpuas hati dan meminta peneraju perkhidmatan hiburan terkemuka dunia itu agar lebih bersedia untuk melancarkan livestream.

Hasil tinjaun Sukan Sinar juga mendapati, hampir 100,000 penyokong bolasepak tanah air menonton siaran langsung pertemuan JDT dan Kedah menerusi platform Facebook kerana tidak berpuas hati dengan khidmat iflix.

Tambah Mohd Noor Farzli, situasi sama turut berlaku suatu ketika dahulu sewaktu perlawanan Liga Malaysia disiarkan di siaran televisyen berbayar kerana memberi masalah kepada penduduk kampung yang tidak melanggannya.

Pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Kedah Darul Aman, Nor Asmadi Hamzah pula melihat masih banyak penambahbaikan yang perlu dilakukan di dalam usaha untuk menyiarkan 132 siaran langsung perlawanan Liga Super, Piala Malaysia dan beberapa perlawanan pilihan dari Piala FA serta Liga Premier di saluran 'Football Malaysia on iflix'.

Menurutnya, beliau percaya 20 juta pemilik telefon pintar  di negara ini perlu diberi masa untuk menerima kemajuan dan perubahan dan bukannya dilakukan secara drastik.

"Jika boleh bagi sesetengah perlawanan besar perlu juga diadakan siaran langsung di televisyen percuma kerana bukan semua kawasan mendapat liputan internet yang baik.

“Selain perlu melanggan iflix, pengguna juga perlu membelanjakan duit untuk membeli data bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar. Perlu ada masa yang diberikan kepada semua peminat bolasepak dalam tempoh setahun dua ini untuk beralih kepada siaran streaming namun capaian internet di sesuatu kawasan juga perlu dibangunkan," katanya.

Sementara itu, iflix menerusi Facebook rasminya berkata, server pihaknya gagal menampung permintaan luar jangkaan oleh peminat Bola Sepak Malaysia.

Menurutnya, pada masa yang sama iflix berusaha untuk menambah baik kapasiti server-server mereka tetapi ia masih tidak mencukupi.

"Anda serbu livestream Football Malaysia pada hujung minggu baru-baru ini sehingga kesemua server kami tidak mampu tampung lagi. Saat itu, kami sedar, keghairahan peminat bola sepak tanah air sememangnya luar biasa!

"Kami dengan seikhlas hati, memohon maaf kepada semua kerana menghampakan anda. Kami amat kesal dengan apa yang telah berlaku," katanya.

Tambah iflix, sebagai pengghargaan pihaknya akan memberikan semua akses tambahan selama 3 bulan tanpa caj.

Iflix menaja Liga Malaysia selama 10 tahun bermula 2018 dengan jumlah tajaan sebanyak RM300 juta dan sebanyak RM30 juta akan diagihkan kepada semua pasukan yang bertanding setiap musim.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com