Suri Rumah Nyaris Dibelit Ular Sawa


GUA MUSANG: Seorang suri rumah nyaris dibelit ular sawa batik yang berselindung di bawah sebatang kayu berhampiran rumahnya di Kampung Baru, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.50 petang itu, Siti Nur Baizura Zakaria, 29, cuba diserang ular ketika hendak mengalihkan kayu berkenaan.

Bagaimanapun, beliau sempat mempertahankan diri dengan kayu berkenaan sebelum memaklumkan kejadian kepada jiran.

Katanya, ular sawa itu dipercayai berada di sebalik kayu berkenaan sejak seminggu lalu dan pernah membaham beberapa ekor ayam miliknya.

"Saya tak sangka kayu itu menjadi tempat berselindung ular sawa batik dan saya terkejut dengan kejadian berkenaan. Sebelum saya hendak mengalihkan kayu, saya mendengar bunyi pelik sebelum melihat ular terbabit.

"Ini kali pertama saya berdepan ular sawa dan bersyukur tidak menjadi mangsa ular itu. Lokasi ini juga tempat anak saya bermain setiap petang," katanya.


Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Gua Musang, Mohd Yusalmi Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 5.05 petang.

Katanya, tiga anggota bergegas ke lokasi dan berjaya menangkap ular sawa batik seberat 20 kilogram dan sepanjang tiga meter dalam masa 10 minit.

"Ular terbabit kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Sumber: BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com