Sukan Komanwel: Malaysia Dapat Laluan Mudah


KUALA LUMPUR - Skuad badminton negara dijangka tidak berdepan masalah untuk menjuarai peringkat kumpulan sekali gus layak ke suku akhir pada saingan berpasukan campuran Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, April depan.

Berdasarkan undian yang dilakukan hari ini, Malaysia yang juga pemenang pingat emas dalam acara itu pada edisi 2014 di Glasgow, Scotland, diundi dalam Kumpulan D bersama Kanada, Seychelles dan Ghana.

Pengurus skuad badminton negara ke Sukan Komanwel, Mohd Taupik Hussain berkata undian berkenaan memberi peluang kepada barisan jurulatih untuk menurunkan barisan pemain berbeza sebagai persiapan menghadapi pusingan kalah mati.

"Saya melihat undian ini sebagai peluang terbaik untuk Malaysia menurunkan barisan pemain yang berbeza dalam setiap perlawanan. Semua pemain akan diberi peluang beraksi bagi menyesuaikan diri kerana mereka juga selepas itu akan mengambil bahagian dalam acara individu.

"Apa pun, saya tidak mahu pemain terlalu memandang rendah kemampuan lawan biarpun nampak kelebihan memihak kepada kita. Sebaliknya, mereka perlu kekal fokus dalam setiap perlawanan untuk mencatat kemenangan," kata Taupik.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyenaraikan lima pemain lelaki dan lima pemain wanita ke temasya berkenaan yang diketuai jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei, Tan Wee Kiong, Goh V Shem, Chan Peng Soon dan Tan Kian Meng, manakala skuad wanita dibarisi Goh Liu Ying, Lai Pei Jing, Goh Jin Wei, Vivian Hoo dan Woon Khe Wei.

BAM meletakkan sasaran untuk memenangi tiga emas pada edisi kali ini sekali gus menyamai pencapaian empat tahun lalu di Glasgow.

Di Glasgow, Malaysia meraih emas menerusi gandingan V Shem-Wee Kiong (beregu lelaki), Vivian-Khe Wei (beregu wanita) dan berpasukan campuran.

Pada edisi 2010 Malaysia berjaya meraih empat emas - pencapaian terbaik di Sukan Komanwel menerusi Chong Wei, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong (beregu lelaki), Chin Eei Hui-Koo Kien Keat (beregu campuran) dan berpasukan campuran.

Chong Wei kali ini bukan saja memburu emas terakhir Komanwel tapi yang ketiga buatnya selepas temasya 2006 (Melbourne) dan 2010 (New Delhi).

Sumber: Sarawakiana

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com