Suami Warga Yemen Cemburu Buta Belasah Isteri


KUALA LUMPUR - Seorang wanita teruk dibelasah apabila dipercayai ditumbuk dan dipukul berkali-kali oleh suaminya kerana cemburu di kediaman mereka di Jalan Imbi di sini, minggu lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, berlaku perselisihan faham antara suspek warga Yemen berkenaan dengan isterinya.

Sumber berkata, suspek berusia 38 tahun itu awalnya bertanya kepada isterinya mengapa berjumpa dengan rakan sebelum diberitahu pertemuan berlaku secara kebetulan.

"Bagaimanapun, suspek tidak mempercayainya dan terus mengamuk dengan menumbuk isterinya berkali-kali selain menampar serta memukul anak lelaki mangsa yang berusia lima tahun," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian menghalau mangsa dan anaknya keluar dari rumah selepas kejadian.

Susulan kejadian itu, mangsa lebam mata kanan, bengkak jari dan sakit seluruh badan sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian.

"Suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di kediamannya keesokan harinya," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com