Stor Rumah Anak Yatim Dekat Kuala Nerang Terbakar


ALOR SETAR - Sebanyak 18 penghuni termasuk tiga warden  Rumah Anak Yatim Baitul Ehsan di Kampung Perik, Kuala Nerang di Padang Terap berdepan detik cemas apabila bangunan stor terbakar dipercayai berpunca akibat litar pintas, malam semalam.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Penguasa Bomba Mohamad Mustakim Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 11.28 malam dan tiba di lokasi kejadian 18 minit kemudian. 

“Setiba di lokasi kejadian mendapati sebuah rumah satu tingkat kelas A sudah 90 peratus terbakar. Sebanyak 18 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang dan Jitra segera membuat kerja-kerja pengawalan dan memadam kebakaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Difahamkan, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya kira-kira sejam kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintenden Noh Idris ketika dihubungi memberitahu, rumah anak yatim itu didiami 15 kanak-kanak berusia antara lapan hingga 12 tahun.

“Kebakaran disyaki berpunca daripada litar pintas pada bangunan stor berkenaan. Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku,” ujarnya. 

Sumber - Utusan

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com