SPRM Kedah Terima 20 Maklumat Berkaitan Rasuah PBT


ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah telah menerima sebanyak 20 maklumat berkaitan kes rasuah dan salah laku dalam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sepanjang dua bulan pertama tahun ini.

Menurut Pengarahnya, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, berkata maklumat itu diperoleh melalui pelbagai sumber termasuk orang awam dan surat layang membabitkan aduan terhadap pegawai serta kakitangan bawahan.

"Sepanjang maklumat yang kami terima, kes di PBT membabitkan pelaksanaan projek dan salah guna kuasa pegawai.

"Mereka dikatakan menerima rasuah daripada orang ramai untuk meluluskan permohonan projek pembangunan dan infrastruktur di PBT dengan sasaran kepada mereka yang mempunyai kuasa untuk meluluskan mana-mana projek.

"Ada juga maklumat kami terima, mereka merasuah petugas penguatkuasa PBT, " katanya memetik BH Online.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan kempen Gerakan Memerangi Rasuah 2018 (GEMPUR 2018), di sini, semalam.

GEMPUR 2018 bertujuan bagi mendidik penjawat awam supaya menolak sebarang tawaran atau pemberian rasuah.

Selain itu, SPRM turut turun padang di seluruh negara semalam sempena Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) yang memfokuskan terhadap PBT sepanjang Februari.

Pada masa sama, Mohd Fauzi berkata, sehingga kini SPRM masih mengumpul maklumat untuk proses pengesahan berhubung 20 aduan itu sebelum tindakan susulan dilakukan.

"Namun di Kedah ini, jenayah rasuah membabitkan PBT tidak begitu serius, "ujarnya.

Manakala, sempena musim perayaan Tahun Baru Cina Februari ini, Mohd Fauzi berkata, pihaknya berpendapat adalah tidak adil untuk menuduh mana-mana pihak yang memberi sumbangan buah limau mandarin sebagai rasuah jika mereka mempunyai niat baik.

"Nak bagi lima atau hamper jika dengan niat untuk mendapatkan sesuatu itu adalah rasuah, tapi kalau niat nak bagi makan itu tidak adil (kalau) kita nak kata rasuah.

"Namun kita nak membuktikan niat itu sama ada baik atau jahat adalah sukar, " jelasnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com