SPRM Kedah Sita RM7.7 Juta Lagi Dalam Kes JPS Perlis


ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 10 lagi akaun bank "menyembunyikan" simpanan berjumlah RM7.7 juta milik Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perlis yang terlibat dengan siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Mohd Fauzi Mohamad, berkata tindakan itu menjadikan jumlah akaun bank yang dibekukan setakat ini meningkat kepada 27 dengan simpanan berjumlah RM11.7 juta.

"Kita sudah membekukan sebanyak 27 akaun bank berjumlah RM11.7 juta susulan kes rasuah dan salah guna kuasa Pengarah JPS Perlis itu, kira-kira minggu lalu.

"Akaun bank yang dibekukan itu adalah milik Pengarah JPS Perlis dan dua lagi suspek iaitu ahli perniagaan yang kita tahan sebelum ini, " katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas melancarkan Gerakan Memerangi Rasuah 2018 (GEMPUR 2018), di sini, semalam.

Selaindaripada itu, SPRM Kedahtelah mengambil keterangan daripada 25 saksi bagi membantu siasatan kes terbabit.

Untuk masa ini, kertas siasatan sedang dilengkapkan SPRM sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.

Terdahulu, SPRM telah mengambil tindakan membekukan sejumlah 17 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM4 juta termasuk milik ahli keluarga pengarah terbabit serta wang tunai berjumlah RM900, 000.

Tindakan itu diambil setelah penahanan dibuat terhadap Pengarah JPS Perlis pada 29 Januari bersama dua ahli perniagaan, dipercayai salah seorang daripadanya adalah anak kepada pengarah berkenaan.

Bagaimanapun, Pengarah JPS Perlis itu dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 11 Januari lalu selepas ditahan reman selama 13 hari bermula pada 30 Januari lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen23 Akta SPRM 2009.

Dua lagi suspek itu pula dibebaskan dengan jaminan SPRM pada 5 Februari lalu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com