Sofi Jikan Muhasabah Diri Lepas Terpalit Kes Ganja


PELAKON popular, Sofi Jikan memilih untuk bermuhasabah diri selepas terpalit dengan beberapa kontroversi yang menimpa dirinya.

Ia termasuk dakwaan memasukkan dadah jenis 11-nor-delta-9-tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid (THC) ke dalam badan pada 6 Februari lalu.

Memetik laporan mStar Online, pelakon berusia 48 tahun itu berkata dia menganggap hal itu sebagai dugaan dan bersyukur kerana masih berada dalam keadaan yang baik.

“Tidak banyak yang boleh saya komen kerana bimbang akan tersalah kata tetapi saya perlu bermuhasabah diri. Alhamdulillah keadaan saya masih baik dan saya belum pun dibuktikan bersalah, kita niat yang baik-baik sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai perkembangan hubungannya dengan pengarah terkenal, Datuk Farid Kamil, Sofi bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung hal tersebut.

Sebaliknya, pelakon yang terkenal dengan tagline ‘Wa Kasi Sengat’ itu memberitahu bahawa dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan sesiapa selain turut mendoakan terbaik buat semua pihak.

“Kita niatkan yang baik-baik sahaja dan jadi manusia yang bantu-membantu, doakan semua sihat dan berjaya dalam semua urusan,” ujar Sofi.

Dalam perkembangan lain, Sofi berkata dia bakal kembali ke set penggambaran filem Polis Evo 2 di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Terdahulu, Sofi yang terkenal menerusi filem KL Gangster itu telah ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Bagaimanapun, Sofi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan pada 6 Februari lalu.

Susulan kes itu, mahkamah membenarkan Sofi diikat jamin sebanyak RM3,000 berserta seorang penjamin dan Nurul Huda menetapkan 14 Mac depan sebagai sebutan semula kes. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com