Skuad Marcote Tetap Waspada Serangan Balas Perak


ALOR SETAR - Ketangkasan serangan balas pemain import Perak dikatakan bakal menjadi ancaman utama Kedah dalam misi mencari kemenangan sulung dalam saingan Liga Super di Stadium Darul Aman malam ini.

Menurut Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote berkata, walaupun yakin dengan persiapan yang sedang diatur, benteng pertahanan Lang Merah perlu waspada ancaman jentera serangan Perak terutama pemain import mereka yang memiliki gerakan pantas ketika serangan balas.

"Kita akui Perak mempunyai kelebihan dan kekuatan serangan balas pantas yang mampu digerakkan daripada kombinasi pemain import mereka seperti Gilmar, Wander Louis, Leandro dan lain-lain.

"Saya mahu benteng kita terus diperkemaskan dan lebih bersedia menghadapi taktikal pantas dari import Perak dan pada masa yang sama perlu elak dari leka dan kesilapan yang boleh merugikan pasukan," katanya memetik BH Online.

Malah Marcote juga menjangkakan satu pertembungan sengit memandangkan kedua-dua pasukan mahu mencari kemenangan pertama musim ini.

"Kita juga akui kekentalan benteng Perak dan kita akan cuba mengatur strategi terbaik. Selepas mengalami kekalahan kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Piala Sumbangsih di Larkin Sabtu lalu, kami mahu bangkit dan pertahankan rekod kemenangan pada aksi pertama di Stadium Darul Aman.

"Jadi kita perlu ambil apa saja kelebihan yang kita ada apabila beraksi di laman sendiri termasuk bantuan penyokong setia," ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com