Siapa Bocorkan Dukun?


PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional (Finas) memandang serius isu kebocoran filem Dukun di internet dan masih menunggu laporan serta maklum balas daripada pihak penerbit sekiranya ia dibocorkan tanpa pengetahuan.

Ketua Pengarah FINAS, Datuk Fauzi Ayob berkata, pihaknya juga turut mengambil inisiatif bersama beberapa badan bertindak bagi menangani masalah seumpama ini.

“Sebelum ini, FINAS sudah mengambil inisiatif penting bersama-sama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) dengan menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Membanteras Cetak Rompak Digital sebagai sinergi bersama menangani isu filem di pawagam yang dimuat naik ke laman sesawang oleh individu tidak bertanggungjawab dan beretika.

“Namun, kita perlu maklumat lanjut memandangkan ia melanggar isu hakcipta dan harta intelek. FINAS berharap pengguna sedar tindakan menyebar dan memuat turun kandungan adalah salah di sisi undang-undang,” katanya kepada Harian Metro.

Fauzi juga berharap semua pihak dapat memberi kerjasama dalam membanteras jenayah siber ini.

“Kesedaran sivik dan moral penonton untuk menghormati hak cipta dan harta intelek pihak karyawan adalah tunjang utama.

“Jadi kita berharap semua pihak bekerjasama bagi menangani masalah ini,” katanya.

Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, enggan mengulas lanjut memandangkan perkara itu kini dalam siasatan

“Pihak kami tidak dapat memberikan sebarang komen kerana ia masih dalam siasatan dan tidak mahu mengganggu proses berkenaan,” katanya ringkas.

Terdahulu, filem Dukun lakonan Datin Paduka Umie Aida kembali hangat diperkatakan selepas ia dimuat naik di Internet sejak minggu lalu.

Menerusi beberapa perkongsian ‘link’ daripada pihak tertentu, filem arahan Dain Said itu dapat ditonton selama 1 jam 35 minit.

Difahamkan filem yang bocor itu memaparkan hampir keseluruhan jalan cerita filem terbabit.

Bagaimanapun, menurut sumber Harian Metro, penamat filem yang dimuat naik itu bukan penamat sebenar kerana proses suntingan belum selesai.

Sementara itu, pengarah filem terbabit, Dain Said ketika dihubungi tidak tahu menahu berkenaan kebocoran filem itu.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku. Saya baru pulang dari Terengganu dan sepanjang di sana tidak ada jaringan Internet.

“Apa saya boleh katakan, ini filem lama dan saya sudah lama ‘move on’ dengan beberapa filem lain selepas itu. Lagi pun, ia bukan filem saya, jadi kena tanya penerbit,” katanya.

Pelakon utama filem itu, Umie Aida ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

Sama seperti Umie, pelakon Hasnul Rahmat yang melakonkan watak pembantu kepada Diana Dahlan lakonan Umie Juga enggan mengulas lanjut.

“Maafkan saya kerana tidak boleh bercakap atau memberikan sebarang komen. Perkara ini sedang dalam siasatan, jadi saya tidak boleh masuk campur.

“Lagi pun, saya tidak tahu keseluruhan jalan cerita filem ini. Malah, apa yang dimuat naik pun saya kurang pasti. Jadi, tidak adil jika saya memberikan komen. Sekali lagi, saya minta maaf,” katanya.

Filem Dukun yang menjalani penggambaran pada 2006 dikatakan bakal menemui penonton pada 2007.

Dukun diadaptasi daripada kes pembunuhan berprofil tinggi yang membabitkan ahli politik Datuk Mazlan Idris dan Mona Fandey yang didakwa pengamal ilmu hitam.

Berikutan itu, Lembaga Penapisan Filem Negara (LPF) mengharamkan filem berkenaan kerana jalan ceritanya yang kontroversi serta menyinggung perasaan keluarga pihak terbabit.

Selain Umie dan Hasnul, pelakon lain yang turut membintangi filem itu adalah Namron, Bront Palarae, Soffi Jikan, Elyana, Faizal Hussein, Chew Kin Wah, Deana Yusof, Mislina Mustafa, Nadiya Nisaa, Adlin Aman Ramli dan ramai lagi.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com