Selera Segar Dari Laut, Pasar Nelayan Kuala Kedah Jadi Tumpuan


ALOR SETAR - Setiap hari, Pasar Nelayan Kampung Seberang Kota, Kuala Kedah di sini, menjadi tumpuan pengunjung dari dalam serta luar negeri bagi yang ingin mendapatkan makanan laut segar secara terus dari nelayan.

Menariknya, orang ramai bukan saja dapat membawa pulang makanan laut yang dibeli, tetapi boleh meminta beberapa gerai di situ memasaknya dan dinikmati ketika panas.

Antara gerai yang menarik perhatian di situ ialah Warung Pak Long yang terkenal dengan hidangan ‘shell out’ nya.

Pengusaha Warung Pak Long yang dikenali sebagai Rasyda Mohd Nor, 39, berkata, gerainya menyediakan set shell out dengan harga RM20 yang sesuai dimakan empat orang dan harga itu kekal sejak setahun lalu.

“Alhamdulillah, setiap hari, warung ini sentiasa dipenuhi pelanggan yang kebanyakannya ingin menikmati ‘shell out’.

“Set yang mengandungi ketam, kepah dan sotong dihidangkan bersama nasi ini disediakan seawal jam 8 pagi,” kata Rasyda yang memetik MyMetro.

Jelasnya, harga berkenaan mampu dikekalkan kerana bekalan bahan mentah diperoleh terus dari nelayan tempatan dan bapanya Mohd Nor Husin, 69, atau lebih mesra dipanggil Pak Long adalah peraih sotong di pasar itu.

Sebelum ini, warung Pak Long pernah tular di media sosial apabila menawarkan set itu pada harga RM20, lebih murah berbanding tempat lain.

Hasil tinjauan mendapati, pelanggan tidak putus-putus mengunjungi gerai berkenaan terutama menjelang tengah hari.

Lebih menarik, makanan akan dihidangkan atas daun pisang dan terletak dalam suasana perkampungan nelayan.

Selain ‘shell out’, Warung Pak Long juga terkenal dengan kari ikan kembung dan bersedia memasak kepada pelanggan yang membawa sendiri bahan mentah yang dibeli di pasar berkenaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com