Sejarah Kewujudan Makam Kampung Tualang Kedah


Mukim Tualang adalah merupakan salah sebuah daripada 34 buah mukim yang terdapat dalam pentadbiran di Pejabat Daerah Kota Setar. Mukim Tualang juga merupakan salah sebuah daripada 6 buah mukim yang terdapat di dalam pentadbiran Tanah Pokok Sena. 

Mukim ini bersempadan dengan Mukim Jabi di utara, Mukim Lesong di timur, Mukim Tajar di barat dan selatan. Nama Tualang dikatakan berasal daripada sebatang pokok besar yang terdapat di tengah-tengah perkampungan sewaktu mula-mula diteroka kira-kira 100 tahun yang lalu. 

Pokok Tualang dikatakan wujud di sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan Tualang sekarang ini. Sultan Syarif Syah Cau Pija Sri Thammarat ialah Raja Ligor terakhir yang datang ke Kedah dan bersemayam di Istana Kota Mengkuang, Jitra Kedah. 


Baginda juga digelar Ram Di Cho atau Hulubalang Besar Negeri Siam dan dalam peristiwa Musuh Bisik 1821 baginda telah dibunuh di Kota Mengkuang serta dimakamkan di Kampung Tualang. 

Tunku Long Putra ibni Sultan Muhammad Jiwa Zainal Adilin dan ramai lagi kaum kerabat baginda yang terbunuh dimakamkan di sini juga. Makam yang dikatakan itu terletak lebih kurang 10km dari Alor Setar dan 5 km dari pekan Langgar. 

Pekan Langgar suatu masa dahulu merupakan penempatan yang utama di negeri Kedah terutamanya sebagai pusat pentadbiran dan pengajian agama Islam. Gambar di atas ini dipercayai merupakan salah seorang pemerintah kerajaan Kedah Tua. 


Batu nisan ini sama seperti batu nisan yang terdapat di komplek makam diraja Kedah dan juga sama bentuknya dengan batu nisan yang berusia lebih dari 1000 tahun yang dijumpai di pekan Langgar Kedah. Selain itu, makam yang berikutnya ialah makam yang lain daripada perkuburan di Kampung Tualang. 

Terdapat dua batu nisan yang saling bercantum antara satu sama lain. Menurut penduduk, ianya daripada makam yang bersebelahan tetapi telah rosak dan menyebabkan sesiapa yang tidak faham mengenai makam ini telah melunggukkannya di suatu tempat. 


Dipercayai juga ianya merupakan makam pemerintah kerajaan Kedah Tua. Gambar ini pula merupakan sisi lain batu nisan bercantum tersebut. Sungguh menyedihkan apabila makam ini dibiarkan sehingga rosak dan berlumut sedemikian rupa sedangkan ianya mempunyai nilai sejarah yang amat bermakna kepada Negeri Kedah. 

Bentuk batu nisan ini merupakan batu nisan aceh yang biasanya terdapat pada makam pemerintah terdahulu. Lihatlah kerosakan yang berlaku dan jika keadaan ini berterusan kemungkinan generasi akan datang tidak akan dapat melihatnya lagi. Penduduk di sekitar sini rata-ratanya menggunakan bahasa Siam sebagai bahasa pertuturan utama mereka.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com